Saturday, June 8, 2013

Duit Kutu

Generasi baru mungkin tidak pernah dengar tentang duit kutu atau 'kutu-kutu'. Ia satu cara menyimpan duit yang diamalkan sebahagian orang Melayu. Modus operandinya mudah sahaja. Seorang ketua mencari beberapa orang ahli kumpulan. Biasanya mereka daripada kalangan kenalan rapat atau saudara-mara.

Sebagai contoh, katakan ada 10 orang ahli. Setiap orang menyimpan RM100 sebulan. Jumlah untuk 10 orang ialah RM1,000. Setiap bulan ketua akan mengutip duit daripada ahli-ahlinya. Kemudian dia akan membuat undian. Nama siapa yang keluar, dialah yang mendapat RM1,000 bagi bulan itu. Selepas 10 bulan, habislah pusingan 'kutu-kutu' itu.

Biasanya pusingan baru dimulakan sekali lagi dan terus sambung-bersambung. Zaman sekarang ini masih ada orang yang menyimpan duit cara 'kutu-kutu'. Bagaimana pun ia tidak popular kerana agak berisiko. Andainya ketua meninggal dunia atau cabut lari, tiada jaminan apa-apa pun bagi ahli-ahlinya mendapat balik duit mereka. Transaksi 'kutu-kutu' tiada bersandarkan dokumen hitam-putih. Ia berdasarkan kepercayaan ahli kepada ketua.

Saya terjebak dalam 'kutu-kutu' ini apabila diajak oleh seorang jemaah di masjid. Kami selalu bertemu waktu solat subuh. Dia bekas guru dan berusia 60an. Sahabat saya ini mengidap penyakit kencing manis dan selalu uzur. Namun dia tetap mahu meneruskan 'kutu-kutu' yang diketuainya. Lepas habis satu pusingan, dia sambung lagi yang baru. Sebenarnya saya agak keberatan hendak turut serta sebab leceh. Dia semakin kerap sakit dan jarang pergi ke masjid. Saya yang kena menghantar duit ke rumahnya setiap bulan.

Entah kenapa saya turutkan juga. Saya tidak sampai hati hendak menolak permintaannya. Saya rasa kasihan kepada sahabat saya yang uzur itu. Seakan-akan pertemuan kami setiap bulan menjadi agenda penting baginya. Oleh kerana uzur, dia tidak dapat bergerak bebas. Sebahagian besar masanya dihabiskan di rumah. Mungkin dia kesunyian dan perlukan kawan untuk bercakap-cakap. Apabila saya datang menghantar duit kutu, kami akan berbual bertanya khabar. Bukan lama pun, sekadar setengah jam.

Biasanya ketika saya datang, sahabat saya itu berada di dalam bilik, atas tilamnya. Pembantu rumah akan sajikan teh dan kuih-muih seadanya. Nampaknya dia ceria setiap kali saya datang. Dia akan peluk saya dan mencium dahi. Aduhai, semua itu mencairkan hati saya. Seperkara lagi, dia suka memberi nasihat tentang kehidupan dengan anak-menantu di usia tua. Banyak kata-katanya yang boleh diterima akal. Saya lihat hubungan dia dengan anak-menantu memang sangat harmoni.

Saya baru mendapat duit kutu kerana giliran saya yang ke 10. Sahabat saya akan memulakan pusingan baru bulan depan. Dia ajak saya sertai lagi. Lemah badan saya bila memikirkan hendak berulang-alik lagi 10 kali ke rumahnya untuk 10 bulan akan datang. Tapi saya kata 'ok' untuk menjaga hatinya. Moga-moga Allah selamatkan semua urusan 'kutu-kutu' kami, InsyaAllah.

Friday, June 7, 2013

Bingit!

Adakah faktor usia yang membuat aku rasa bingit? Aku bingit dengan keadaan masa kini. Aku rasa keadaan sekeliling hiruk-pikuk. Terlalu banyak info, terlalu banyak promosi itu dan ini, iklan beraneka di radio, iklan yang banyak dan pantas bertukar di TV, cerita suratkhabar, cerita di internet... Ohhh, bingit sungguh!

Kehidupan masa kini amat rancak. Ia bukan soal hidup di bandar atau di kampung. Ia sama saja dengan kemajuan teknologi. Mungkin berpunca bilangan manusia yang bertambah ramai. Sebenarnya bukan setakat ramai tapi sesak dan padat. Di mana-mana pun sama saja. Pergilah ke pasaraya atau kedai-kedai, kebanyakannya ramai orang. Jalanraya tidak usahlah hendak cerita, kenderaan penuh di mana-mana pun. Waima di Melaka, bandaraya bersejarahku.

Aku bingit! Bagaikan semua benda/orang/apa-apa saja, semua mahukan perhatian. Masing-masing sibuk 'meniup terompet' sendiri. Ada yang seakan-akan 'menjerit' dan 'memekik' hendakkan perhatian. Bacalah di FB contohnya. Berapa ramai orang yang menayangkan diri. Tampak seakan sekadar berkongsi info tetapi sebenarnya menayangkan kelebihan dan nikmat yang sedang dikecapi... Bagaikan semuanya sibuk dengan itu ini sepanjang masa... sentiasa bertenaga 24 jam.. bagai tidak tahu penat... Seolah-olah berkata, "Look here everybody! See how terrific things are in this life!"

Memang aku bingit. Keadaan terasa menyesakkan nafas. Aku kurang selesa. Kekadang rasa hendak lari, tapi ke mana? Entahlah, inilah zaman yang dikatakan canggih. Zaman mencabar bagi usia emasku. Namun aku ingin menikmati hidupku dengan tenang. Tanpa rasa perlu menghambat sesuatu, dihambat sesuatu atau ketinggalan sesuatu. Ya Allah, berilah aku ketenangan jiwa. Berilah aku kekuatan untuk menikmati hidup yang engkau anugerahkan buatku. Amin.