Friday, September 28, 2012

Solat Subuh Di Pagi Jumaat

Pagi ini kami solat subuh di masjid MITC. Ada peristiwa lucu berlaku. Kisahnya tentang gelagat jemaah. Hampir setiap minggu pada pagi Jumaat (kecuali pada bulan Ramadhan dan bulan Syawal), masjid MITC akan dikunjungi oleh sekumpulan pelawat. Pada kebiasaannya mereka datang dari Terengganu. Hari ini para pelawat itu terdiri daripada murid-murid sekolah rendah. Mereka semua memakai kemeja T warna hijau. Semasa kami sampai di masjid pagi tadi, kelihatan dua buah bas di kawasan parkir kereta. Sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan kelihatan keluar-masuk tandas, sekumpulan lagi di tempat wudhu dan masing-masing kemudian menuju ke ruang solat.

Di ruang solat Muslimah, ada beberapa orang murid sedang memakai telekung. Saya mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid dan sejurus kemudian azan subuh pun berkumandang. Selesai azan, saya pun membaca doa dan bangun untuk mendirikan solat sunat subuh. Ketika itulah saya melihat murid-murid yang sudah bertelekung itu juga bangun untuk solat. Hati saya berkata, "Alhamdulillah, pandai budak-budak ini mendirikan solat sunat subuh." Adakalanya saya temui jemaah wanita yang buat tidak tahu saja selepas muazin selesai mengalunkan azan subuh. Mereka tidak bangun mendirikan solat sunat subuh tapi duduk-duduk sahaja (sesetengahnya turut bersembang) sehingga bilal membaca iqamat.

Yang lucunya hari ini, budak-budak yang saya sangka mendirikan solat sunat subuh itu tadi terus sahaja menanggal telekung mereka sebaik mereka habis solat. Hati saya berkata lagi, "Aiii, sudah siap solat subuh rupanya!!!" Sudah sahlah mereka sebenarnya bukan solat sunat tetapi solat fardhu subuh sendiri-sendiri dan tidak menunggu imam untuk berjemaah. Ada sekumpulan murid lagi yang duduk berdekatan saya ketika itu. Apabila bilal membaca iqamat, mereka pun berdiri dalam satu saf dengan saya. Di sebelah kiri saya ialah jemaah masjid yang biasa iaitu Kak Aminah dan Kak Rohana. Di sebelah kanan saya pula ada dua orang wanita yang tidak saya kenali. Mungkin mereka itu adalah guru-guru yang menjadi pengiring murid-murid.

Kebetulan pada pagi ini imam membaca surah As-Sajdah pada rakaat yang pertama. Maka terjadilah peristiwa 'keliru' yang sudah boleh dijangka akan berlaku, iaitu apabila imam sujud tilawah. Ketika itu, ada separuh jemaah dalam saf yang rukuk sedangkan makmum lain sedang sujud. Apabila imam berdiri semula, jemaah yang sama duduk antara dua sujud, kemudian mereka cepat-cepat ikut berdiri semula. Kemudian apabila imam bangun untuk rakaat kedua, jemaah yang terkeliru itu duduk tahiyyat akhir. Ketika selesai solat subuh, kesemua murid-murid yang solat dalam satu saf dengan kami sudah lesap. Mereka hilang entah ke mana.

Kemungkinan besar sebahagian murid-murid itu tidak pernah melalui pengalaman sujud tilawah di dalam solat. Saya harap guru-guru pengiring mereka akan memberi penerangan kepada kanak-kanak itu tentang sujud tilawah supaya mereka faham apa yang berlaku. Sujud tilawah adalah sujud yang dilakukan ketika orang yang sedang membaca atau mendengar  ayat-ayat Al Qur'an bertemu dengan ayat-ayat yang memerintahkan sujud. Ada banyak dalil tentang sujud tilawah itu, antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim iaitu :-

Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW bersabda : Jika anak Adam membaca ayat sajadah, lalu dia sujud, maka syaitan melarikan diri sambil meratap : "Semoga dia celaka." Dalam riwayat yang lain : "Aduh! Celaka aku kerana anak Adam diperintahkan sujud, lalu dia sujud dan baginya syurga. Sedangkan aku diperintahkan sujud, lalu aku engkar, maka bagiku neraka."

Di dalam Al Qur'an ada 14 ayat sajadah iaitu dalam surah-surah seperti berikut :-

1. Al-A'raf, ayat 206
2. Ar-Ra'd, ayat 15
3. An-Nahl, ayat 48-50
4. Al-Isra', ayat 107-109
5. Maryam, ayat 58
6. Al-Hajj, ayat 18
7. Al-Furqan, ayat 60
8. An-Naml, ayat 23-26
9. As-Sajdah, ayat 15
10.Saad, ayat 24-25
11. Fussilat, ayat 37
12. An-Najm, ayat 57-62
13. Al-Insyiqaq, ayat 16-21
14. Al-'Alaq, ayat 14-19

Apabila imam melakukan sujud tilawah, maka makmum wajib ikut melakukannya. Hakikatnya ada ramai orang dewasa yang tidak pernah melalui pengalaman sujud tilawah kerana mereka jarang solat subuh di masjid pada hari Jumaat. Inikan pula budak-budak yang masih mentah. Suatu ketika dulu saya juga tidak tahu tentang sujud tilawah di dalam solat. Pengalaman pertama saya melakukannya ialah ketika mendirikan solat subuh di Masjidil Haram. Saya juga pernah keliru dan kemudian mengulang semula solat subuh pada hari itu.

Saya doakan semoga anak-anak yang saya temui di masjid pagi tadi mendapat pengalaman berguna yang akan diingati sepanjang hayat mereka. Itu mungkin menjadi salah satu kenangan manis mereka ketika melawat Melaka Bandaraya Bersejarah yang indah dan permai.

Thursday, September 27, 2012

Ajal

Kita biasa mendengar doa begini diucapkan kepada orang yang menyambut hari lahirnya... "Selamat Hari Lahir. Semoga Allah panjangkan umur awak." Ucapan seperti ini agak biasa, tetapi hakikatnya bolehkah umur kita dipanjangkan lagi? Setahu saya yang sudah hidup lebih 5 dekad ini, apabila sampai ajal, kita pasti akan mati. Tidak akan dicepatkan ajal seseorang itu walau pun sesaat, juga tidak akan dilewatkan walau pun sesaat. Jika demikian (ajal kita sudah ditetapkan) bolehkah kita memohon supaya dipanjangkan umur? Menurut Ustaz Fahim, kita boleh memohon kepada Allah untuk dipanjangkan umur. Caranya ialah dengan berdoa dan melakukan 3 perkara berikut :-

1. beribadah
2. bertaqwa; dan
3. taat kepada Allah

Doa adalah senjata orang beriman dan kita boleh memohon apa sahaja doa yang baik-baik kepada Allah. Insyaallah akan dimakbulkanNya, samaada cepat atau sedikit lambat. Memohon dipanjangkan umur sebenarnya bukan bermaksud tempoh hayat kita yang akan dipanjangkan. Sebaliknya ia bermaksud pengisian umur kita itu akan padat dengan ibadah dan amal soleh. Hakikatnya ialah kita memohon supaya Allah memberi kita kebolehan memanfaatkan masa. Insyaallah dengan mengabulkan doa yang dipohon itu, Allah memberi kita kesempatan melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat.

Dengan lain perkataan, Allah memanjangkan usia kita dengan dikurniakanNya keberkatan masa. Ada ramai alim ulama zaman silam yang meninggal dunia di usia muda tetapi amal soleh mereka sangat banyak, bagaikan mereka hidup sehingga ke usia tua. Contohnya mereka menulis kitab-kitab yang terkenal dan sangat berguna kepada masyarakat Islam sehingga ke hari ini. Ada juga orang yang sudah lanjut usia tetapi masih mampu mengaji Al Qur'an setiap hari dan mengkhatamkannya sebulan sekali.

Ustaz Fahim juga ditanya, apa bezanya di antara beribadah dan taat kepada kepada Allah. Bukankah orang yang beribadah itu taat kepada Allah? Rupa-rupanya orang yang beribadah tidak semestinya dia taat kepada Allah. Contohnya, seorang wanita hendak mengerjakan ibadah haji, maka dia pun menutup aurat ketika berihram. Ketika hendak mengerjakan ibadah solat juga dia menutup aurat. Bagaimana pun selepas mengerjakan haji dia pun membuka semula auratnya (tidak mematuhi etika berpakaian dalam Islam). Inilah yang dimaksudkan orang yang beribadah tetapi tidak taat kepada perintah Allah. Taat kepada Allah itu ialah kita mematuhi semua suruhannya dan larangannya. Apabila kita memilih-milih yang mana kita suka untuk melakukan atau meninggalkan perintah Allah, ia bermaksud kita tidak taat meskipun kita rajin beribadah.


Friday, September 14, 2012

Syahid Ponteng Kelas

Aqrab Al Istiqamah ditutup pada sepanjang bulan Ramadhan dan dibuka semula pada 16 Syawal lalu. Meski pun sudah dua minggu kelas bermula, masih ramai yang belum dapat hadir. Mungkin mereka itu sibuk dengan majlis rumah terbuka, urusan anak-anak menghadapi UPSR, majlis walimah, kursus haji dan sebagainya. Lumrahnya begitulah selepas bercuti lama, perasaan menjadi malas untuk menghadiri kelas. Ada-ada saja hal yang dijadikan alasan untuk ponteng kelas. Jika tidak dikuatkan hati dengan kesedaran pentingnya mencari ilmu, maka perasaan malas itu semakin menjadi-jadi.

Kak Dzuredah menceritakan hal murid-muridn dewasanya yang 'syahid' dan tidak hadir kelas mengaji pada minggu lalu. "Hanya seorang yang hadir. Yang lain ponteng. Saya pula yang menunggu mereka. Saya pun beri amaran hendak tutup kelas jika masing-masing terus memonteng. Kalau mereka hendak pilih dunia, dapat dunia sajalah, lupa langsung bab akhirat. Haa... hari ini semua sekali hadir." Kami ketawa berderai mendengar sambungan leterannya, "Sudahlah mengaji tidak pandai. Baca merangkak-rangkak. Sanggup lagi membuli guru. Guru datang, dia pula ponteng."  Suasana menjadi bising seketika. Nampaknya semua orang bagaikan bersetuju bahawa bukan budak-budak saja perlu ditegur. Orang dewasa pun perlu dileter-leterkan.

"We are a spent force," kata Kak Asiah, pengetua Aqrab Al Istiqamah. "Kita semua sudah tua. Baki umur sudah tinggal sikit. Hendak tunggu apa lagi? Bila lagi hendak cari ilmu?" Dia menyambung, "Saya pelik tengok sesetengah orang, sanggup ponteng kelas sebab hendak membaca Yasin di sekolah semasa anak masing-masing ambil UPSR. Lebih baik datang ke majlis ilmu, itu lebih afdal. Solat sunat berbanding majlis ilmu, hadir majlis ilmu lebih afdal. Dalam majlis ilmu ada ramai malaikat, semuanya akan mengaminkan doa-doa kita." Wallahua'lam.


Thursday, September 13, 2012

Kesalan Seorang Balu

Tiga minggu lalu seorang kenalan saya kematian suaminya. Berita duka itu tiba ketika kita semua baru dua hari menyambut Aidil Fitri. Khabarnya allahyarham kerap demam di sepanjang bulan ramadhan tetapi tidak diduga pula sakitnya itu akan membawa maut. Saya pernah berjumpa arwah suami kenalan saya itu beberapa kali ketika berkunjung ke rumah mereka. Orangnya tidak peramah namun tidak juga sombong. Beliau suka berkebun dan bertukang. Orang yang sudah pencen sepertinya memang suka mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti seperti itu. Menurut isterinya, beliau juga rajin ke pasar, mengemas rumah dan memasak.

Al kisah kenalan saya itu pula, oleh kerana suaminya rajin membuat kerja rumah, beliau mengambil peluang mengisi masa dengan  pergi belajar agama. Merata-rata dia pergi mencari ilmu di surau dan masjid dengan izin suaminya. Pasangan ini mempunyai keluarga yang harmoni, anak-menantu yang baik-baik serta beberapa orang cucu yang comel. Pendek kata, meraka hidup bahagia dalam rumahtangga yang boleh dijadikan contoh teladan oleh orang lain.

Baru-baru ini kenalan saya itu meluahkan perasaan dukanya. "Saya ralat sangat," kata kenalan saya itu. "Saya tidak suka memanjakan suami. Bercakap dengannya pun tidak pernah dengan bahasa yang lembut. Saya tak pandai bercakap lemah-lembut dengan dia. Dia pun tak kisah dengan cara saya yang agak kasar." Raut wajah kenalan saya itu tampak sedih dan ada airmata di sudut ekor matanya. "Dia suami yang baik. Sangat penyayang dan tidak banyak kerenah. Tak pernah mengabaikan saya dan anak-anak. Saya ralat tak manjakan dia dengan bercakap lemah lembut." Tersentuh hati saya mendengar luahan yang diucap dengan penuh sebak itu.

Fikiran saya melayang jauh, membayangkan diri sendiri berada dalam situasi kenalan saya yang sedang kesedihan. Ya, saya juga seperti dia. Saya juga kerap terlepas pandang kebaikan suami ketika dia masih ada di depan mata. Sejak muda lagi, saya agak kedekut untuk membeli hadiah untuk suami, sedangkan dia sangat pemurah terhadap saya. Selama lebih 28 tahun hidup bersama, saya akui amat jarang membelikan hadiah untuknya. Memang saya ini bersikap tahi hidung masin dengan suami sendiri. Rasa kesal menyelubungi hati apabila melihat kesedihan kenalan saya itu.

Sikap manusia kekadang alpa untuk menghargai apa yang dia ada. Apabila nikmat itu ditarik balik, dia tersentak daripada kealpaan, lalu hati pun merasa ralat dan kesal. Teringat serangkap pantun dalam lirik sebuah lagu lama berbunyi begini...

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Ada sebuah ungkapan dalam bahasa Inggeris berbunyi begini... "Don't take foregranted on people. No matter how much they love you, they get tired." Ada pula pepatah Melayu berbunyi... "Sudah terhantuk baru tengadah. Kesal dulu pendapatan, kesal kemudian tidak berguna." Semuanya mengingatkan kita tentang sikap manusia yang kekadang alpa. Semoga kita mendapat iktibar dan melakukan sesuatu sebelum terlambat.

Saya sedang merancang sesuatu di dalam kepala sendiri... mungkin untuk pergi bercuti dengan suami... mungkin melancong ke Turki... Kali ini biarlah saya yang membelanja dia. Bulan Mei lalu dia sudah membawa saya ke tanah suci. Bulan Mac tahun lepas dia membelanja saya, juga ke tanah suci. Nampaknya saya tidak boleh terus bersikap kedekut terhadap dia, nanti saya yang menyesal tidak kesudahan.

Sunday, April 22, 2012

Mengapa Kerajaan Tidak Buat ASB Jadi Halal?

Semalam aku terima surat daripada ASNB. Mereka hantar Penyata Pengagihan Pendapatan Skim ASN & ASB. Simpanan aku dalam ASB ada lebih 100k. Selain penyata itu, turut disertakan buku kecil Laporan Tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 12 2011. Aku baca buku itu sehelai demi sehelai, ada 71 muka surat semuanya. Sayang sekali maklumat yang aku cari tiada di dalamnya. Aku mencari maklumat yang mengesahkan skim ASB itu hukumnya halal. Mengapa maklumat itu tidak ada sedangkan segala macam maklumat lain ada dalam buku laporan itu?

Setahu aku skim ASB ini diperuntukkan untuk Bumiputera sahaja. Ia dikatakan satu skim khas yang disediakan oleh kerajaan dan hanya Bumiputera dapat menikmatinya. Aku bersyukur pihak kerajaan bermurah hati kepada golongan Bumiputera, tapi sayang seribu kali sayang... Di negara kita ini majoriti Bumiputera adalah orang Melayu beragama Islam. Soal halal haram adalah perkara yang sangat penting lagi dititikberatkan oleh mereka. Aku rasa sangat kecewa apabila mendapat tahu skim ASB itu hukumnya ada 2.

Ada satu pihak yang menghukumkan ASB itu harus dan ada satu pihak lagi menghukumkan ia haram. Orang Islam yang peka tentang soal halal dan haram pasti tidak merasa selesa dengan situasi ini. Pendirian ramai alim ulama' ialah umat Islam jangan mengambil sesuatu yang diketahui ada unsur-unsur syubahat. Jadi mereka mengesyorkan tidak usahlah orang Melayu Islam melabur dalam ASB. Bagi pihak yang mengatakan hukum ASB itu harus, mereka berpegang kepada syarat sekurang-kurangnya 70% nilai pelaburan ASB adalah dalam syarikat-syarikat yang aktiviti bisnesnya halal.

Dalam buku laporan dituliskan bahawa 26.73% pelaburan ASB ialah dalam Malayan Banking Berhad, 0.67% dalam Public Bank Berhad (Foreign Shares) dan 0.67% dalam Public Bank Berhad. Tidak pula dinyatakan samaada pelaburan itu dalam perbankan Islam. Aku berpegang kepada pendapat skim ASB itu hukumnya harus. Namun begitu, mulai saat ini aku bertekad untuk tidak lagi menambah pelaburan dalam ASB. Cukuplah setakat yang sudah ada itu. Aku akan mencari pilihan lain untuk melabur seterusnya.

Hakikatnya aku kecewa dengan sikap kerajaan kita daripada segi ini. Mengapa kerajaan tidak peka dengan soal halal dan haram dalam pelaburan ASB? Mengapa kerajaan tidak pastikan ASNB dan PNB melabur dalam syarikat-syarikat yang dipastikan halal 100%? Mengapa PNB dan ASNB tidak melabur dalam TNB, Telekom dan Petronas dalam peratus yang besar? Mengapa dibiarkan dalam situasi seperti sekarang iaitu pelaburan dalam TNB cuma 2.94%, dalam Telekom 1.68% dan dalam Petronas 1%?

Mengapakah kerajaan membiarkan pelaburan khas untuk Bumiputera (yang majoritinya orang Melayu Islam) ini dalam situasi antara harus dan haram? Mengapa kerajaan tidak jadikan ASB sebagai pelaburan yang 100% halal? Aku kecewa kerana pemimpin negera kita mengaku Malaysia adalah negara Islam, sedangkan pelaburan untuk majoriti orang Islam yang diurusnya pun tidak dapat dipastikan 100% halal.

Orang-orang penting yang menerajui PNB dan ASNB ialah orang-orang Islam terkemuka di negara kita. Mereka sangat berpengaruh, dimuliakan dan disanjung tinggi. Mengapa mereka tidak berbuat sesuatu yang memberi impak berkesan daripada segi hukum harus dan haram ini? Bukankah ini satu amanah yang besar? Alangkah baik jika Tun Ahmad Sarji dan Tan Sri Dato' Sri Hamad Kama Piah dapat menjawab persoalan ini. Tidakkah mereka peduli dengan persoalan ini?

Friday, April 20, 2012

Kelas Talaqqi

Ustazah Dzuredah menelefon saya pada suatu petang. Katanya ada seorang wanita ingin belajar mengaji Al Qur'an. "Kak Dzu tak ada masa nak ajar dia. Jadual sudah penuh. Boleh awak tolong Kak Dzu?" Saya menjawab secara spontan, "Boleh, insyaallah. Saya ada masa lapang pada hari Khamis sebelah pagi." Kak Dzu mengucap syukur dan meminta izin untuk memberikan nombor handset saya kepada wanita tersebut.

Sejurus kemudian seorang wanita bernama Roslina menelefon saya. Dia memanggil saya 'ustazah'. Dengan perasaan tersipu-sipu saya beritahu dia keadaan sebenar. Bahawa saya bukanlah seorang 'ustazah' dan saya tiada tauliah rasmi daripada Jabatan Agama Islam untuk mengajar Al Qur'an. Saya hanya berkongsi sedikit ilmu yang saya ada.

Saya memberi tuition secara percuma kepada sesiapa yang ingin belajar Al Qur'an pada setiap hari Khamis mulai jam 9:00 hingga 12:00 tengahari. Guru Al Qur'an saya yang memberi galakan supaya saya mula mengajar orang mengaji. Saya mengikut nasihatnya setelah saya rasa bersedia untuk melakukannya.

"Saya sudah boleh membaca Al Qur'an tetapi tajwid saya sedikit lintang pukang," kata Roslina. Saya kirimkan alamat rumah saya kepadanya melalui sms dan bersetuju memulakan kelas untuknya pada minggu berikutnya. Pada hari dijanjikan, beliau menelefon saya lebih kurang setengah jam selepas Sapura pulang. Sapura adalah murid saya yang pertama sejak saya memulakan kelas tuition mengaji lebih kurang 2 bulan lalu.

Sedang saya memberi arahan kepada Roslina tentang jalan masuk ke rumah saya, tiba-tiba sebuah BMW warna putih yang besar berkilat muncul di halaman rumah. Seorang wanita tinggi lampai keluar dan saya mempersilakan dia masuk. Setelah berkenalan ala-kadar, kelas pun dimulakan. Saya meminta dia membaca Al Fatiha dan muka surat pertama surah Al Baqarah. Memang benar dia sudah lancar mengaji tetapi masih perlukan bimbingan dari segi tajwid.

Kami berbincang tentang teknik belajar yang dia selesa dan saya tunjukkan contoh kaedah Mama Dee yang diguna pakai oleh Ustazah saya. Dia bersetuju mencubanya. Tanpa sedar saya meminta dia membaca latihan latih-tubi itu secara bertubi-tubi. Makin lama semakin laju. Tiba-tiba Roslina tersedak. Dia berdehem beberapa kali. "Awak nak air? Nanti sekejap ya, saya pergi ambil." Tanpa berlengah saya terus ke dapur dan membawa sebiji gelas dan sebotol air mineral.

Roslina meneguk air yang saya bawakan itu seperti orang kehausan yang teramat sangat. Saya memerhatikan dia minum dengan rasa bersalah. "Mencungap saya, kak," kata Roslina sambil menarik nafas. Saya memohon maaf berkali-kali sebab terlalu bersemangat mengajar sehingga anak murid baru saya itu hampir sesak nafas.

Hati saya berbisik, "Aduhai, apa yang sudah aku perbuat kepada dia?" Saya memandang Roslina dengan rasa kasihan sambil memarahi diri saya sendiri, "Tak senonohlah aku ni." Saya kesal dengan perbuatan saya tapi ia bukan disengajakan. Saya teruja dan telah ter'over'. "Maafkan saya, Roslina. Lain kali kalau awak rasa saya ini laju sangat, beritahulah saya supaya berhenti. Saya tak perasan tadi."

Kami sudahi sesi pembelajaran pada hari itu dengan berbual tentang diri masing-masing. Roslina itu rupa-rupanya adalah tuan punya syarikat Puteri Alya. Suaranya selalu saya dengar di radio IKIM iaitu ketika mempromosi produk-produk keluarannya. Tak sangka pula tauke besar itu yang menjadi mangsa deraan saya!

Hati saya rasa sebal setelah Roslina pulang. Saya kesal kerana teknik saya mengajar dia mungkin boleh mengakibatkan dia serik untuk datang belajar lagi. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir dia datang. Saya berdoa kepada Allah memohon pertolongannya supaya memudahkan urusan saya dalam proses mengajar orang mengaji Al Qur'an. Saya sedar saya tiada pengalaman menjadi guru dan sedang mencuba beberapa teknik mengajar yang saya rasa sesuai untuk menyampaikan ilmu tajwid.

Saya mohon kepada Allah supaya diberikan saya petunjuk. Saya ingin membantu orang lain yang belum pandai membaca Al Qur'an supaya dapat membacanya dengan baik. Nikmat boleh membaca Al Qur'an ini sangat besar dan ramai orang ingin membacanya, cuma mereka tidak faham tajwid dan malu hendak belajar, terutama orang dewasa. Saya berhasrat membantu kalangan orang-orang seperti itu tapi saya belum berpengalaman menjadi guru.

Pada hujng minggu itu, saya menghadiri seminar Al Qur'an di Masjid Al Azim. Seorang penceramah mengesyorkan sebuah buku bimbingan Al Qur'an bertajuk Talaqqi tulisan Surur Shihabuddin An Nadwi. Buku itu ada dijual di luar auditorium dan saya membeli sebanyak 4 naskah. Dalam hati saya, saya berniat untuk menghadiahkan buku-buku itu kepada Sapura dan Roslina. Itu pun jika Roslina datang mengaji lagi jika dia belum serik.

Hari Khamis minggu berikutnya hujan turun dengan lebat sejak awal pagi. Saya bersedia menunggu kedatangan Sapura dan Roslina tapi detik hati saya berkata mungkin mereka tidak datang sebab hujan. Bagaimana pun sangkaan saya meleset. Sapura datang awal dan berkata, "Biasanya Pura cari can saja nak ponteng mengaji. Tapi tengoklah sekarang ni hujan, Pura tetap datang. Berkobar-kobar nak belajar." Saya tergelak mendengar luahan hati Sapura sambil kami bersalaman di hadapan pintu rumah.

Lebih kurang sejam kemudian, telefon saya berdering. "Kak, bukalah gate. Saya di luar ni," suara Roslina di talian. Memang saya tidak sangka Roslina datang juga dalam hujan lebat itu. Aduhai, aduhai... Saya mengucap syukur kepada Allah kerana masih mengizinkan saya menyampaikan ilmu. "Saya fikir awak sudah serik," kata saya kepada Roslina. Dia tergelak, "Mana ada serik. Saya ni sedang berkobar-kobar nak belajar. Tengok ni, dalam hujan petus pun saya datang. Sanggup harung hujan sebab nak pandai."

Saya menggunakan buku Talaqqi untuk sesi pembelajaran dengan Sapura dan Roslina pada hari itu. Nampaknya mereka faham apa yang dipelajari. Saya bersyukur kepada Allah. Doakan saya agar dapat terus mengajar Al Qur'an. Jika anda perlukan bantuan saya, sila hubungi saya. Insyaallah, marilah kita belajar Al Qur'an agar dapat membacanya dengan baik. Al Qur'an adalah qalam Allah dan semoga ia menjadi pembela kita di akhirat kelak. Wallahu a'lam.

Tuesday, March 13, 2012

Makcik Bedah

Salah seorang rakan di kelas mengajiku ialah seorang tua bernama Makcik Bedah. Menurut dia, umurnya hampir 80 tahun. "Masa musim Jepun dulu, makcik bersekolah darjah 2," katanya. Aku pun mencongak dalam kepala. Ibuku lahir pada tahun 1942, masa itu musim Jepun. Sekarang usia ibuku 70 tahun. Jadi munasabah juga jika Makcik Bedah mengaku umurnya hampir 80 tahun. "Surat beranak makcik ada di rumah makcik di kampong. Kertasnya sudah kuning macam kertas Al Qur'an ini," kata Makcik Bedah.

Dia datang ke kelas mengaji di rumah Kak Sarah dengan menaiki basikal. Kagum juga aku melihat orang seusia dia masih berdaya mengayuh basikal. Aku sendiri (52 tahun) belum tentu boleh melakukannya. Kak Sarah memberi penjelasan begini, "Kalau sudah biasa, memanglah senang. Macam kita bawa kereta, sudah tua pun kita boleh memandu." Aku perhatikan Makcik Bedah menggantung begnya yang berisi Al Qur'an di lehernya. Nampak lucu pula sebab beg itu agak besar. "Makcik sudah cuba sandang beg ini, tapi dia melurut ke bawah. Susah pula nak pegang, jadi Makcik gantung di leher," kata Makcik Bedah sambil ketawa.

Aku pernah melihat Makcik Bedah di masjid sejak beberapa tahun lalu sebelum mengenalinya secara dekat di kelas mengaji. Kami selalu bertemu di masjid pada bulan Ramadan dan adakalanya aku duduk sebelah-menyebelahnya di saf yang sama iaitu ketika solat tarawih. Tidak ramai orang setua dia yang rajin datang mengerjakan solat tarawih di Masjid Al Alami. Dialah antara seorang dua wanita tua yang beristiqamah mengerjakan solat tarawih dari awal hingga akhir Ramadan setiap tahun.

Masjid Al Alami terletak di kawasan MITC dan taman perumahan yang terdekat dengannya ialah Taman Tasik Utama. Bagaimana pun agak mustahil untuk datang ke masjid itu dengan berjalan kaki. Taman perumahan yang terdekat pun jaraknya lebih satu kilometer daripada masjid itu. Aku pernah juga terfikir di mana makcik tua itu tinggal. Akhirnya soalan itu terjawab. Makcik Bedah tinggal bersama anak dan menantunya di sebuah banglo dua tingkat di Taman Tasik Utama.

Menurut Makcik Bedah, dia berketurunan Cina dan menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga orang Melayu di Bukit Rambai. "Makcik bersyukur emak makcik berikan makcik kepada keluarga angkat orang Melayu. Alhamdulillah, makcik dapat jadi orang Islam." Yang menarik hatiku tentang Makcik Bedah ini ialah dia boleh mengenali nombor dalam tulisan Arab. Dia juga boleh membaca Al Qur'an. Aku terpaut hati dengan sikap positifnya, yang meski pun sudah tua tetapi begitu merendah diri dan bersopan santun. Dia duduk di kelas Kak Sarah dengan tenang mendengar seorang demi seorang daripada kami membaca Al Qur'an sehingga selesai.

"Makcik duduk di rumah anak pun tak ada buat apa kerja. Kekadang tengok tv, solat, baring-baring, tidor... Anak makcik tak kasi makcik duduk seorang di kampong selepas suami makcik meninggal. Jadi duduklah di sini. Di rumah anak makcik, ada bibik yang memasak dan menjaga cucu-cucu makcik," katanya tersenyum. Aku mengajaknya menaiki kereta untuk aku hantarkan pulang ke rumahnya. "Basikal cucu makcik pancit. Tak sempat nak pam, jadi makcik datang tadi jalan kaki saja," katanya. Dia mempelawa aku singgah untuk minum kopi tetapi aku menolaknya dengan baik.

Hatiku tersentuh dengan teladan yang aku lihat di depan mata. Ya, teladan tentang menjalani kehidupan sebagai orang tua. Andainya umur kita panjang sehingga menjangkau lebih 70 tahun, apakah yang akan kita rasa? Aku selalu terfikir tentang masa tua yang sebegitu, jika ditakdirkan harus melaluinya. Aku mendengar kata-kata Makcik Bedah dengan penuh minat apabila dia menjawab pertanyaanku tentang dirinya. Dia kelihatan tenang, masih sihat dan berperawakan sederhana. Sikap dia begitu positif dan tampak mudah. Dia tidak bercakap seperti orang serba tahu tetapi tetap peramah dan merendah diri. Aku suka menjadi orang tua seperti itu.

Saturday, March 3, 2012

Monolog Pagi

Aku pernah berada di tempat dia berada sekarang, menerajui sebuah syarikat yang sedang berkembang menggebu-gebu. Kesempatan mengunjungi dia di pejabatnya baru-baru ini menimbulkan nostalgia tentang masa laluku. Perasaanku seakan-akan terpesona dengan suasana pejabatnya yang 'hidup' dan rancak dengan aktiviti. Sambil dia menerangkan peningkatan jualan syarikatnya yang memberangsangkan, di wajahnya terpancar rasa puas dengan pencapaian itu. Dia mempunyai pelbagai rancangan dan sasaran baru untuk dicapai. Dia nampaknya konsisten untuk memburu kejayaan yang lebih besar. Umur dia baru mencecah 40 tahun dan pencapaiannya setakat ini sangat membanggakan.

Aku terasa kerdil. Meski pun pernah berada di situasi yang sama seperti dia pada suatu masa dulu, aku sekarang tidak lagi berfikir seperti dia. Haluan hidupku sudah bertukar arah. Aku kini bukan lagi seorang Pengarah Urusan, bukan lagi seorang bos kepada sesiapa. Aku hanya orang biasa-biasa, bahkan boleh saja dipanggil seorang surirumah. Aktiviti harianku kini ialah pergi ke kelas untuk mempelajari Al Qur'an, selain melakukan kerja-kerja sampingan seperti memberi khidmat "business-coaching" dan menguruskan akaun bisnes kami di SOHOku (small office home office). Termasuk juga dalam jadual mingguanku, membawa ibuku ke Jusco, Mydin, kedai cermin mata, farmasi atau klinik untuk membeli keperluan dan ubat-ubatannya.

Stail hidupku kini lebih santai dan tidak lagi terikat dengan 'deadlines' itu dan ini. Kini aku boleh mengatur masa untuk melakukan apa-apa saja yang menyenangkan hatiku. Sedangkan dulu hidupku selalu terkejar-kejar dengan urusan kerja yang tak berkesudahan. Ya, aku menghambat masa setiap hari selama berpuluh tahun, sibuk dengan urusan mencari wang sejak awal pagi hingga lewat petang atau larut malam. Kehidupan lampauku penuh dengan stres. Fikiranku dulu tak pernah lekang memikirkan isu "cashflow" syarikat yang kekadang positif dan kekadang negatif. Dalam agenda hidupku dulu tidak ada perkara-perkara santai seperti menyiram pokok bunga atau mengemas laci almari. Bahkan hendak memasak sarapan untuk anakku pun kekadang tidak sempat.

Persepsi dipandang sebagai "orang penting" sesekali membuat aku terpersona dengan glamer kehidupan lampau. Tetapi mahukah aku melalui fasa kehidupan sibuk seperti itu sekali lagi? Mahukah aku mengulanginya? Tanpa perlu berfikir panjang, jawapanku adalah tidak, tidak sama sekali. Kehidupanku kini adalah kesempatan buat mempersiapkan diri untuk kembali ke "kampung halaman" yang sudah semakin tiba masanya. Ya, masa untuk berangkat ke sana sudah semakin dekat. Kesempatan yang ada ini bukan lagi untuk dihabiskan memburu apa yang menjadi hambatanku sewaktu muda dahulu. Di usiaku ini semua itu sudah menjadi tidak penting, bahkan hanyalah kerja yang sia-sia jika aku terus melakukannya.

Thursday, March 1, 2012

Belajar & Mengajar Al Qur'an

Saya belajar Al Qur'an tiga kali seminggu. Hari Isnin saya bertalaqqi dengan Hajah Sarah Yaacob di rumahnya di Taman Tasik Utama. Cara guru saya ini mengajar ada satu keistimewaan iaitu dia kreatif dalam menerangkan hukum tajwid. Contohnya, dia akan kata begini...

1. Huruf "ر" apabila barisnya di bawah, bunyinya nipis, mulut awak jangan muncung. Masa sebut "نصير" kena buka mulut dan sengih sampai habis.

2. Huruf "ذ dan ظ" dibaca dengan tiada desir. Tiada desir maknanya tiada angin. Jangan tekan kuat, baca ringan saja. Jika awak baca berdesir (ada angin) itu sudah jadi huruf "ز". Huruf "ز" kena sebut dengan desir... Zzzai...

3. Perkataan "لن تغني", pada huruf "غ" itu jangan baca tersentak (tugh') walau pun ada tanda sukun. Awak seret huruf "غ" itu dalam mulut.

Perkataan-perkataan yang diguna oleh guru saya ini seperti "sengih sampai habis" dan "seret dalam mulut" cepat melekat di otak saya. Walau pun hanya sehari dalam seminggu mengaji di depan dia, saya mendapat manfaat. Biasanya saya membaca sekitar lima muka surat sahaja dan mencatit teguran-tegurannya dalam buku nota.

Hari Selasa saya menghadiri kelas Ustazah Normadiah. Kelas itu adalah kelas Asas Al Qur'an, bermula daripada mengenal sifat-sifat huruf hija'iyah. Dalam kelas saya ini ada dua kategori pelajar. Yang pertama ialah kategori yang sudah lancar membaca Al Qur'an. Yang kedua ialah kategori yang kurang lancar.

Ada pro dan kontra apabila kita mengaji di dalam kelas yang bercampur seperti ini. Kontranya ialah ia agak meleret-leret apabila giliran pelajar kategori kurang lancar membaca. Pro-nya pula ialah kita dapat belajar cara hendak mengajar orang yang belum pandai membaca Al Qur'an.

Guru saya menegur kesalahan dalam bacaan secara berperingkat. Contohnya dia fokus kepada bab mad asli dan wajibbal ghunnah sahaja di peringkat awal. Bab-bab yang lain dia tidak sentuh sebab tidak mahu pelajar kategori kurang lancar itu keliru jika ditegur bertubi-tubi.

Kedua-dua guru saya ada berpesan, apabila kita belajar mengaji Al Qur'an, kita harus pasang niat untuk mengajar orang lain apabila kita sudah mahir. Ada satu hadis sahih riwayat Al Bukhari yang berbunyi,

"خير كم من تعلم القران و علمه"

bermaksud sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al Qur'an dan mengajarkannya.

Pesan mereka lagi, kita jangan cepat patah semangat dengan mengatakan lidah kita sudah keras untuk dilentur. Antara motivasi yang boleh kita berikan kepada diri sendiri ialah maksud sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

"Orang yang mahir Al Qur'an akan berada di kalangan malaikat-malaikat yang mereka itu merupakan juru tulis mulia dan lurus. Sedang seseorang yang tidak lancar membaca Al Qur'an tetapi terus berusaha membacanya dengan susah-payah, dia akan mendapat pahala dua kali ganda."

Hari Rabu saya menghadiri kelas Ustazah Rokiah. Dalam kelas ini saya belajar Bahasa Al Qur'an secara harfiah iaitu menterjemah ayat-ayatnya perkataan demi perkataan. Kursus ini menggunakan kitab susunan Ustaz Rani Osman iaitu ada 30 buah, setiap satu kitab untuk satu juzuk.

Di peringkat awal, agak sukar memahami struktur Bahasa Al Qur'an dengan nahu sarafnya. Selepas beberapa bulan ia boleh difahami dan ketika ini kami sudah mula menterjemah juzuk ketiga. Kami bermula dengan menterjemah satu muka surat sahaja di setiap sesi kelas pada peringkat awal dulu tapi kini kami menterjemah empat muka surat sekali gus.

Mempelajari Al Qur'an bukanlah setakat hendak tahu membacanya tetapi juga harus mentadabbur dan menghayati isi kandungannya. Sesungguhnya Al Qur'an itu amat bernilai dan wajar kita mensyukurinya, menyayanginya, meyakininya, mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, meninggikannya dan menyampaikannya.

Beberapa hari lalu sahabat saya, Sapura, meminta bantuan saya untuk mengajar dia mengaji. Saya memenuhi permintaannya dengan senang hati. Kelasnya bermula hari ini. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat berkongsi ilmu dengan sahabat saya dan saya juga sedia membantu orang lain yang mahu belajar mengaji Al Qur'an.

Saturday, February 25, 2012

Soal Hati

Dalam kelas Aqidah minggu lalu, seorang teman sekelas saya bertanya kepada Ustaz Fahim tentang hukum menghadiri perayaan agama lain. Adakah hukumnya harus atau haram? Contoh terbaru ialah kehadiran Perdana Menteri di Batu Caves semasa perayaan Taipusam. Isu itu sudah menjadi perdebatan hangat kerana Taipusam adalah upacara keagamaan dan bukan sekadar perayaan budaya masyarakat Hindu.

Ustaz Fahim menerangkan bahawa ada dua pendapat tentang isu ini. Pendapat pertama ialah selagi ia bukan berkaitan agama yang turun dari langit, maka tidak salah menghadiri upacara itu. Taipusam adalah salah satu upacara agama Hindu dan agama Hindu bukanlah agama yang dibawa oleh nabi, bahkan ia adalah pecahan daripada agama majusi. Pendapat kedua mengatakan tidak boleh menghadiri upacara agama lain kerana dikuatiri merosakkan akidah seseorang.

Seterusnya Ustaz Fahim menceritakan satu peristiwa di mana panglima perang Islam, Salahudin Al Ayubi telah menghantar tabib untuk mengubati Richard The Lion yang sedang sakit semasa perang salib. Ustaz Fahim bertanya adakah wajar tindakan Salahudin Al Ayubi itu sedangkan Richard The Lion adalah ketua pihak musuh yang memerangai Islam? Siapa dalam kelas ini ada hujjah untuk mengatakan tindakan Salahudin Al Ayubi itu mendorong untuk merosakkan akidah umat Islam? Itu 'homework' untuk difikirkan, kata Ustaz Fahim.

Kesimpulannya dalam menangani isu seperti ini, kita disarankan supaya tidak cepat-cepat menjatuhkan hukum yang negatif. Kajilah dulu dengan memahami mengapa tindakan sebegitu telah diambil. Carilah hikmah di sebalik sesuatu tindakan itu. Kekadang kita tersalah membuat penilaian dan menjatuhkan hukum secara tidak adil.

Kita disarankan selalu bersangka baik dan menilai sesuatu dalam konteks yang betul. Panduan kita adalah Al Qur'an dan hadis sahih. Jangan kita berburuk sangka kerana turutkan kata hati sendiri. Dikuatiri kalau-kalau hati kita sendiri sudah rosak akibat menderita penyakit hati. Cubalah kita cari satu atau dua kebaikan dalam sesuatu tindakan yang kita pandang janggal dan fikirkan hikmah di sebaliknya.

Tuesday, February 21, 2012

Selamat Hari Lahirku Ke 52

Pada 23 Febuari, 2012 iaitu dua hari lagi, insyaallah aku akan menyambut hari lahir ke 52. Alhamdulillah, Allah pinjamkan umur kepadaku melebihi setengah abad. Aku tidak pula terasa amat tua ketika ini, meski pun dulu ketika ayahku meninggal dunia, aku rasakan dia sudah tua. Ayahku meninggal di usia 52 tahun kerana sakit jantung.

Meski pun tidak merasa terlalu tua ketika ini, aku sedar usiaku kini bukanlah muda lagi. Minggu lalu ketika menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2012 di PWTC, aku disapa seorang peserta muda. Pelajar tahfiz di Darul Qur'an itu berkata, "Puan sudah berusia tetapi masih berusaha datang ke konvensyen ini." Aku rasa geli hati dengan luahan ikhlasnya dan aku jawab, "Dulu semasa saya muda tidak ada peluang menghadiri konvesyen seperti ini."

Semasa belajar di SIU-Carbondale pada 1984-1986, aku selalu bertembung dengan seorang wanita kulit putih berusia. Dia juga berulang-alik ke kelas seperti aku. Wanita itu mungkin dalam lingkungan 50an atau 60an dan rambutnya sudah beruban, putih semuanya seperti rambut Tan Sri Hasan Merican. Ketika itu hatiku juga tertanya-tanya mengapa orang setua dia masih berminat mencari ilmu. Kini aku sendiri berada di situasi yang sama seperti dia.

Sahabat baikku, Coach Fuad, berkata umur hanyalah angka. Katanya aku tidak seharusnya bermalas-malas dan duduk-duduk sahaja di rumah di usia begini. Sebenarnya dia mahu aku ikut serta dalam tim latihannya yang akan mengendalikan kursus keusahawanan di Janda Baik pada bulan April depan. Aku terpaksa menolak atas alasan aku akan sibuk pada bulan April nanti kerana kakakku akan mengadakan majlis walimah anaknya dan aku akan jadi "orang pangkal."

Aku tidak pernah terfikir ingin bermalas-malas di usia emasku. Bak kata Hajjah Asiah, pengetua Aqrab Al Istiqamah (sebuah pusat pengajian Al Qur'an di Bukit Beruang, Melaka), "We are a spent force." Maksudnya usia kita ini semakin hari semakin berkurang. Masa yang tinggal ini tidak boleh disia-siakan kerana ia tidak akan kembali lagi. Golongan seperti aku yang sudah berada di hujung-hujung usia ini perlulah sedar diri dan menghayati sepenuhnya maksud surah Al Ashr...

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Di usia emas ini aku mengambil pendekatan untuk bersederhana dalam menjalani kehidupan. Dalam bersedia menghadapi kematian yang mungkin tiba pada bila-bila masa, aku akan nikmati kehidupanku seadanya.

Sempena hari lahir ke 52, aku menghadiahkan diriku sebuah iPad2 dan mendaftarkan diriku untuk menghadiri dua konvensyen iaitu Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang berlangsung pada 18 dan 19 Febuari lalu serta Konvensyen Bidadari Dunia yang akan berlangsung di PICC pada 24 dan 25 Mac, 2012 insyaallah.