Showing posts with label Usia Emas. Show all posts
Showing posts with label Usia Emas. Show all posts

Saturday, June 8, 2013

Duit Kutu

Generasi baru mungkin tidak pernah dengar tentang duit kutu atau 'kutu-kutu'. Ia satu cara menyimpan duit yang diamalkan sebahagian orang Melayu. Modus operandinya mudah sahaja. Seorang ketua mencari beberapa orang ahli kumpulan. Biasanya mereka daripada kalangan kenalan rapat atau saudara-mara.

Sebagai contoh, katakan ada 10 orang ahli. Setiap orang menyimpan RM100 sebulan. Jumlah untuk 10 orang ialah RM1,000. Setiap bulan ketua akan mengutip duit daripada ahli-ahlinya. Kemudian dia akan membuat undian. Nama siapa yang keluar, dialah yang mendapat RM1,000 bagi bulan itu. Selepas 10 bulan, habislah pusingan 'kutu-kutu' itu.

Biasanya pusingan baru dimulakan sekali lagi dan terus sambung-bersambung. Zaman sekarang ini masih ada orang yang menyimpan duit cara 'kutu-kutu'. Bagaimana pun ia tidak popular kerana agak berisiko. Andainya ketua meninggal dunia atau cabut lari, tiada jaminan apa-apa pun bagi ahli-ahlinya mendapat balik duit mereka. Transaksi 'kutu-kutu' tiada bersandarkan dokumen hitam-putih. Ia berdasarkan kepercayaan ahli kepada ketua.

Saya terjebak dalam 'kutu-kutu' ini apabila diajak oleh seorang jemaah di masjid. Kami selalu bertemu waktu solat subuh. Dia bekas guru dan berusia 60an. Sahabat saya ini mengidap penyakit kencing manis dan selalu uzur. Namun dia tetap mahu meneruskan 'kutu-kutu' yang diketuainya. Lepas habis satu pusingan, dia sambung lagi yang baru. Sebenarnya saya agak keberatan hendak turut serta sebab leceh. Dia semakin kerap sakit dan jarang pergi ke masjid. Saya yang kena menghantar duit ke rumahnya setiap bulan.

Entah kenapa saya turutkan juga. Saya tidak sampai hati hendak menolak permintaannya. Saya rasa kasihan kepada sahabat saya yang uzur itu. Seakan-akan pertemuan kami setiap bulan menjadi agenda penting baginya. Oleh kerana uzur, dia tidak dapat bergerak bebas. Sebahagian besar masanya dihabiskan di rumah. Mungkin dia kesunyian dan perlukan kawan untuk bercakap-cakap. Apabila saya datang menghantar duit kutu, kami akan berbual bertanya khabar. Bukan lama pun, sekadar setengah jam.

Biasanya ketika saya datang, sahabat saya itu berada di dalam bilik, atas tilamnya. Pembantu rumah akan sajikan teh dan kuih-muih seadanya. Nampaknya dia ceria setiap kali saya datang. Dia akan peluk saya dan mencium dahi. Aduhai, semua itu mencairkan hati saya. Seperkara lagi, dia suka memberi nasihat tentang kehidupan dengan anak-menantu di usia tua. Banyak kata-katanya yang boleh diterima akal. Saya lihat hubungan dia dengan anak-menantu memang sangat harmoni.

Saya baru mendapat duit kutu kerana giliran saya yang ke 10. Sahabat saya akan memulakan pusingan baru bulan depan. Dia ajak saya sertai lagi. Lemah badan saya bila memikirkan hendak berulang-alik lagi 10 kali ke rumahnya untuk 10 bulan akan datang. Tapi saya kata 'ok' untuk menjaga hatinya. Moga-moga Allah selamatkan semua urusan 'kutu-kutu' kami, InsyaAllah.

Friday, June 7, 2013

Bingit!

Adakah faktor usia yang membuat aku rasa bingit? Aku bingit dengan keadaan masa kini. Aku rasa keadaan sekeliling hiruk-pikuk. Terlalu banyak info, terlalu banyak promosi itu dan ini, iklan beraneka di radio, iklan yang banyak dan pantas bertukar di TV, cerita suratkhabar, cerita di internet... Ohhh, bingit sungguh!

Kehidupan masa kini amat rancak. Ia bukan soal hidup di bandar atau di kampung. Ia sama saja dengan kemajuan teknologi. Mungkin berpunca bilangan manusia yang bertambah ramai. Sebenarnya bukan setakat ramai tapi sesak dan padat. Di mana-mana pun sama saja. Pergilah ke pasaraya atau kedai-kedai, kebanyakannya ramai orang. Jalanraya tidak usahlah hendak cerita, kenderaan penuh di mana-mana pun. Waima di Melaka, bandaraya bersejarahku.

Aku bingit! Bagaikan semua benda/orang/apa-apa saja, semua mahukan perhatian. Masing-masing sibuk 'meniup terompet' sendiri. Ada yang seakan-akan 'menjerit' dan 'memekik' hendakkan perhatian. Bacalah di FB contohnya. Berapa ramai orang yang menayangkan diri. Tampak seakan sekadar berkongsi info tetapi sebenarnya menayangkan kelebihan dan nikmat yang sedang dikecapi... Bagaikan semuanya sibuk dengan itu ini sepanjang masa... sentiasa bertenaga 24 jam.. bagai tidak tahu penat... Seolah-olah berkata, "Look here everybody! See how terrific things are in this life!"

Memang aku bingit. Keadaan terasa menyesakkan nafas. Aku kurang selesa. Kekadang rasa hendak lari, tapi ke mana? Entahlah, inilah zaman yang dikatakan canggih. Zaman mencabar bagi usia emasku. Namun aku ingin menikmati hidupku dengan tenang. Tanpa rasa perlu menghambat sesuatu, dihambat sesuatu atau ketinggalan sesuatu. Ya Allah, berilah aku ketenangan jiwa. Berilah aku kekuatan untuk menikmati hidup yang engkau anugerahkan buatku. Amin.

Friday, September 14, 2012

Syahid Ponteng Kelas

Aqrab Al Istiqamah ditutup pada sepanjang bulan Ramadhan dan dibuka semula pada 16 Syawal lalu. Meski pun sudah dua minggu kelas bermula, masih ramai yang belum dapat hadir. Mungkin mereka itu sibuk dengan majlis rumah terbuka, urusan anak-anak menghadapi UPSR, majlis walimah, kursus haji dan sebagainya. Lumrahnya begitulah selepas bercuti lama, perasaan menjadi malas untuk menghadiri kelas. Ada-ada saja hal yang dijadikan alasan untuk ponteng kelas. Jika tidak dikuatkan hati dengan kesedaran pentingnya mencari ilmu, maka perasaan malas itu semakin menjadi-jadi.

Kak Dzuredah menceritakan hal murid-muridn dewasanya yang 'syahid' dan tidak hadir kelas mengaji pada minggu lalu. "Hanya seorang yang hadir. Yang lain ponteng. Saya pula yang menunggu mereka. Saya pun beri amaran hendak tutup kelas jika masing-masing terus memonteng. Kalau mereka hendak pilih dunia, dapat dunia sajalah, lupa langsung bab akhirat. Haa... hari ini semua sekali hadir." Kami ketawa berderai mendengar sambungan leterannya, "Sudahlah mengaji tidak pandai. Baca merangkak-rangkak. Sanggup lagi membuli guru. Guru datang, dia pula ponteng."  Suasana menjadi bising seketika. Nampaknya semua orang bagaikan bersetuju bahawa bukan budak-budak saja perlu ditegur. Orang dewasa pun perlu dileter-leterkan.

"We are a spent force," kata Kak Asiah, pengetua Aqrab Al Istiqamah. "Kita semua sudah tua. Baki umur sudah tinggal sikit. Hendak tunggu apa lagi? Bila lagi hendak cari ilmu?" Dia menyambung, "Saya pelik tengok sesetengah orang, sanggup ponteng kelas sebab hendak membaca Yasin di sekolah semasa anak masing-masing ambil UPSR. Lebih baik datang ke majlis ilmu, itu lebih afdal. Solat sunat berbanding majlis ilmu, hadir majlis ilmu lebih afdal. Dalam majlis ilmu ada ramai malaikat, semuanya akan mengaminkan doa-doa kita." Wallahua'lam.


Thursday, September 13, 2012

Kesalan Seorang Balu

Tiga minggu lalu seorang kenalan saya kematian suaminya. Berita duka itu tiba ketika kita semua baru dua hari menyambut Aidil Fitri. Khabarnya allahyarham kerap demam di sepanjang bulan ramadhan tetapi tidak diduga pula sakitnya itu akan membawa maut. Saya pernah berjumpa arwah suami kenalan saya itu beberapa kali ketika berkunjung ke rumah mereka. Orangnya tidak peramah namun tidak juga sombong. Beliau suka berkebun dan bertukang. Orang yang sudah pencen sepertinya memang suka mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti seperti itu. Menurut isterinya, beliau juga rajin ke pasar, mengemas rumah dan memasak.

Al kisah kenalan saya itu pula, oleh kerana suaminya rajin membuat kerja rumah, beliau mengambil peluang mengisi masa dengan  pergi belajar agama. Merata-rata dia pergi mencari ilmu di surau dan masjid dengan izin suaminya. Pasangan ini mempunyai keluarga yang harmoni, anak-menantu yang baik-baik serta beberapa orang cucu yang comel. Pendek kata, meraka hidup bahagia dalam rumahtangga yang boleh dijadikan contoh teladan oleh orang lain.

Baru-baru ini kenalan saya itu meluahkan perasaan dukanya. "Saya ralat sangat," kata kenalan saya itu. "Saya tidak suka memanjakan suami. Bercakap dengannya pun tidak pernah dengan bahasa yang lembut. Saya tak pandai bercakap lemah-lembut dengan dia. Dia pun tak kisah dengan cara saya yang agak kasar." Raut wajah kenalan saya itu tampak sedih dan ada airmata di sudut ekor matanya. "Dia suami yang baik. Sangat penyayang dan tidak banyak kerenah. Tak pernah mengabaikan saya dan anak-anak. Saya ralat tak manjakan dia dengan bercakap lemah lembut." Tersentuh hati saya mendengar luahan yang diucap dengan penuh sebak itu.

Fikiran saya melayang jauh, membayangkan diri sendiri berada dalam situasi kenalan saya yang sedang kesedihan. Ya, saya juga seperti dia. Saya juga kerap terlepas pandang kebaikan suami ketika dia masih ada di depan mata. Sejak muda lagi, saya agak kedekut untuk membeli hadiah untuk suami, sedangkan dia sangat pemurah terhadap saya. Selama lebih 28 tahun hidup bersama, saya akui amat jarang membelikan hadiah untuknya. Memang saya ini bersikap tahi hidung masin dengan suami sendiri. Rasa kesal menyelubungi hati apabila melihat kesedihan kenalan saya itu.

Sikap manusia kekadang alpa untuk menghargai apa yang dia ada. Apabila nikmat itu ditarik balik, dia tersentak daripada kealpaan, lalu hati pun merasa ralat dan kesal. Teringat serangkap pantun dalam lirik sebuah lagu lama berbunyi begini...

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Ada sebuah ungkapan dalam bahasa Inggeris berbunyi begini... "Don't take foregranted on people. No matter how much they love you, they get tired." Ada pula pepatah Melayu berbunyi... "Sudah terhantuk baru tengadah. Kesal dulu pendapatan, kesal kemudian tidak berguna." Semuanya mengingatkan kita tentang sikap manusia yang kekadang alpa. Semoga kita mendapat iktibar dan melakukan sesuatu sebelum terlambat.

Saya sedang merancang sesuatu di dalam kepala sendiri... mungkin untuk pergi bercuti dengan suami... mungkin melancong ke Turki... Kali ini biarlah saya yang membelanja dia. Bulan Mei lalu dia sudah membawa saya ke tanah suci. Bulan Mac tahun lepas dia membelanja saya, juga ke tanah suci. Nampaknya saya tidak boleh terus bersikap kedekut terhadap dia, nanti saya yang menyesal tidak kesudahan.

Tuesday, March 13, 2012

Makcik Bedah

Salah seorang rakan di kelas mengajiku ialah seorang tua bernama Makcik Bedah. Menurut dia, umurnya hampir 80 tahun. "Masa musim Jepun dulu, makcik bersekolah darjah 2," katanya. Aku pun mencongak dalam kepala. Ibuku lahir pada tahun 1942, masa itu musim Jepun. Sekarang usia ibuku 70 tahun. Jadi munasabah juga jika Makcik Bedah mengaku umurnya hampir 80 tahun. "Surat beranak makcik ada di rumah makcik di kampong. Kertasnya sudah kuning macam kertas Al Qur'an ini," kata Makcik Bedah.

Dia datang ke kelas mengaji di rumah Kak Sarah dengan menaiki basikal. Kagum juga aku melihat orang seusia dia masih berdaya mengayuh basikal. Aku sendiri (52 tahun) belum tentu boleh melakukannya. Kak Sarah memberi penjelasan begini, "Kalau sudah biasa, memanglah senang. Macam kita bawa kereta, sudah tua pun kita boleh memandu." Aku perhatikan Makcik Bedah menggantung begnya yang berisi Al Qur'an di lehernya. Nampak lucu pula sebab beg itu agak besar. "Makcik sudah cuba sandang beg ini, tapi dia melurut ke bawah. Susah pula nak pegang, jadi Makcik gantung di leher," kata Makcik Bedah sambil ketawa.

Aku pernah melihat Makcik Bedah di masjid sejak beberapa tahun lalu sebelum mengenalinya secara dekat di kelas mengaji. Kami selalu bertemu di masjid pada bulan Ramadan dan adakalanya aku duduk sebelah-menyebelahnya di saf yang sama iaitu ketika solat tarawih. Tidak ramai orang setua dia yang rajin datang mengerjakan solat tarawih di Masjid Al Alami. Dialah antara seorang dua wanita tua yang beristiqamah mengerjakan solat tarawih dari awal hingga akhir Ramadan setiap tahun.

Masjid Al Alami terletak di kawasan MITC dan taman perumahan yang terdekat dengannya ialah Taman Tasik Utama. Bagaimana pun agak mustahil untuk datang ke masjid itu dengan berjalan kaki. Taman perumahan yang terdekat pun jaraknya lebih satu kilometer daripada masjid itu. Aku pernah juga terfikir di mana makcik tua itu tinggal. Akhirnya soalan itu terjawab. Makcik Bedah tinggal bersama anak dan menantunya di sebuah banglo dua tingkat di Taman Tasik Utama.

Menurut Makcik Bedah, dia berketurunan Cina dan menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga orang Melayu di Bukit Rambai. "Makcik bersyukur emak makcik berikan makcik kepada keluarga angkat orang Melayu. Alhamdulillah, makcik dapat jadi orang Islam." Yang menarik hatiku tentang Makcik Bedah ini ialah dia boleh mengenali nombor dalam tulisan Arab. Dia juga boleh membaca Al Qur'an. Aku terpaut hati dengan sikap positifnya, yang meski pun sudah tua tetapi begitu merendah diri dan bersopan santun. Dia duduk di kelas Kak Sarah dengan tenang mendengar seorang demi seorang daripada kami membaca Al Qur'an sehingga selesai.

"Makcik duduk di rumah anak pun tak ada buat apa kerja. Kekadang tengok tv, solat, baring-baring, tidor... Anak makcik tak kasi makcik duduk seorang di kampong selepas suami makcik meninggal. Jadi duduklah di sini. Di rumah anak makcik, ada bibik yang memasak dan menjaga cucu-cucu makcik," katanya tersenyum. Aku mengajaknya menaiki kereta untuk aku hantarkan pulang ke rumahnya. "Basikal cucu makcik pancit. Tak sempat nak pam, jadi makcik datang tadi jalan kaki saja," katanya. Dia mempelawa aku singgah untuk minum kopi tetapi aku menolaknya dengan baik.

Hatiku tersentuh dengan teladan yang aku lihat di depan mata. Ya, teladan tentang menjalani kehidupan sebagai orang tua. Andainya umur kita panjang sehingga menjangkau lebih 70 tahun, apakah yang akan kita rasa? Aku selalu terfikir tentang masa tua yang sebegitu, jika ditakdirkan harus melaluinya. Aku mendengar kata-kata Makcik Bedah dengan penuh minat apabila dia menjawab pertanyaanku tentang dirinya. Dia kelihatan tenang, masih sihat dan berperawakan sederhana. Sikap dia begitu positif dan tampak mudah. Dia tidak bercakap seperti orang serba tahu tetapi tetap peramah dan merendah diri. Aku suka menjadi orang tua seperti itu.

Saturday, March 3, 2012

Monolog Pagi

Aku pernah berada di tempat dia berada sekarang, menerajui sebuah syarikat yang sedang berkembang menggebu-gebu. Kesempatan mengunjungi dia di pejabatnya baru-baru ini menimbulkan nostalgia tentang masa laluku. Perasaanku seakan-akan terpesona dengan suasana pejabatnya yang 'hidup' dan rancak dengan aktiviti. Sambil dia menerangkan peningkatan jualan syarikatnya yang memberangsangkan, di wajahnya terpancar rasa puas dengan pencapaian itu. Dia mempunyai pelbagai rancangan dan sasaran baru untuk dicapai. Dia nampaknya konsisten untuk memburu kejayaan yang lebih besar. Umur dia baru mencecah 40 tahun dan pencapaiannya setakat ini sangat membanggakan.

Aku terasa kerdil. Meski pun pernah berada di situasi yang sama seperti dia pada suatu masa dulu, aku sekarang tidak lagi berfikir seperti dia. Haluan hidupku sudah bertukar arah. Aku kini bukan lagi seorang Pengarah Urusan, bukan lagi seorang bos kepada sesiapa. Aku hanya orang biasa-biasa, bahkan boleh saja dipanggil seorang surirumah. Aktiviti harianku kini ialah pergi ke kelas untuk mempelajari Al Qur'an, selain melakukan kerja-kerja sampingan seperti memberi khidmat "business-coaching" dan menguruskan akaun bisnes kami di SOHOku (small office home office). Termasuk juga dalam jadual mingguanku, membawa ibuku ke Jusco, Mydin, kedai cermin mata, farmasi atau klinik untuk membeli keperluan dan ubat-ubatannya.

Stail hidupku kini lebih santai dan tidak lagi terikat dengan 'deadlines' itu dan ini. Kini aku boleh mengatur masa untuk melakukan apa-apa saja yang menyenangkan hatiku. Sedangkan dulu hidupku selalu terkejar-kejar dengan urusan kerja yang tak berkesudahan. Ya, aku menghambat masa setiap hari selama berpuluh tahun, sibuk dengan urusan mencari wang sejak awal pagi hingga lewat petang atau larut malam. Kehidupan lampauku penuh dengan stres. Fikiranku dulu tak pernah lekang memikirkan isu "cashflow" syarikat yang kekadang positif dan kekadang negatif. Dalam agenda hidupku dulu tidak ada perkara-perkara santai seperti menyiram pokok bunga atau mengemas laci almari. Bahkan hendak memasak sarapan untuk anakku pun kekadang tidak sempat.

Persepsi dipandang sebagai "orang penting" sesekali membuat aku terpersona dengan glamer kehidupan lampau. Tetapi mahukah aku melalui fasa kehidupan sibuk seperti itu sekali lagi? Mahukah aku mengulanginya? Tanpa perlu berfikir panjang, jawapanku adalah tidak, tidak sama sekali. Kehidupanku kini adalah kesempatan buat mempersiapkan diri untuk kembali ke "kampung halaman" yang sudah semakin tiba masanya. Ya, masa untuk berangkat ke sana sudah semakin dekat. Kesempatan yang ada ini bukan lagi untuk dihabiskan memburu apa yang menjadi hambatanku sewaktu muda dahulu. Di usiaku ini semua itu sudah menjadi tidak penting, bahkan hanyalah kerja yang sia-sia jika aku terus melakukannya.

Tuesday, February 21, 2012

Selamat Hari Lahirku Ke 52

Pada 23 Febuari, 2012 iaitu dua hari lagi, insyaallah aku akan menyambut hari lahir ke 52. Alhamdulillah, Allah pinjamkan umur kepadaku melebihi setengah abad. Aku tidak pula terasa amat tua ketika ini, meski pun dulu ketika ayahku meninggal dunia, aku rasakan dia sudah tua. Ayahku meninggal di usia 52 tahun kerana sakit jantung.

Meski pun tidak merasa terlalu tua ketika ini, aku sedar usiaku kini bukanlah muda lagi. Minggu lalu ketika menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2012 di PWTC, aku disapa seorang peserta muda. Pelajar tahfiz di Darul Qur'an itu berkata, "Puan sudah berusia tetapi masih berusaha datang ke konvensyen ini." Aku rasa geli hati dengan luahan ikhlasnya dan aku jawab, "Dulu semasa saya muda tidak ada peluang menghadiri konvesyen seperti ini."

Semasa belajar di SIU-Carbondale pada 1984-1986, aku selalu bertembung dengan seorang wanita kulit putih berusia. Dia juga berulang-alik ke kelas seperti aku. Wanita itu mungkin dalam lingkungan 50an atau 60an dan rambutnya sudah beruban, putih semuanya seperti rambut Tan Sri Hasan Merican. Ketika itu hatiku juga tertanya-tanya mengapa orang setua dia masih berminat mencari ilmu. Kini aku sendiri berada di situasi yang sama seperti dia.

Sahabat baikku, Coach Fuad, berkata umur hanyalah angka. Katanya aku tidak seharusnya bermalas-malas dan duduk-duduk sahaja di rumah di usia begini. Sebenarnya dia mahu aku ikut serta dalam tim latihannya yang akan mengendalikan kursus keusahawanan di Janda Baik pada bulan April depan. Aku terpaksa menolak atas alasan aku akan sibuk pada bulan April nanti kerana kakakku akan mengadakan majlis walimah anaknya dan aku akan jadi "orang pangkal."

Aku tidak pernah terfikir ingin bermalas-malas di usia emasku. Bak kata Hajjah Asiah, pengetua Aqrab Al Istiqamah (sebuah pusat pengajian Al Qur'an di Bukit Beruang, Melaka), "We are a spent force." Maksudnya usia kita ini semakin hari semakin berkurang. Masa yang tinggal ini tidak boleh disia-siakan kerana ia tidak akan kembali lagi. Golongan seperti aku yang sudah berada di hujung-hujung usia ini perlulah sedar diri dan menghayati sepenuhnya maksud surah Al Ashr...

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Di usia emas ini aku mengambil pendekatan untuk bersederhana dalam menjalani kehidupan. Dalam bersedia menghadapi kematian yang mungkin tiba pada bila-bila masa, aku akan nikmati kehidupanku seadanya.

Sempena hari lahir ke 52, aku menghadiahkan diriku sebuah iPad2 dan mendaftarkan diriku untuk menghadiri dua konvensyen iaitu Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang berlangsung pada 18 dan 19 Febuari lalu serta Konvensyen Bidadari Dunia yang akan berlangsung di PICC pada 24 dan 25 Mac, 2012 insyaallah.