Thursday, March 1, 2012

Belajar & Mengajar Al Qur'an

Saya belajar Al Qur'an tiga kali seminggu. Hari Isnin saya bertalaqqi dengan Hajah Sarah Yaacob di rumahnya di Taman Tasik Utama. Cara guru saya ini mengajar ada satu keistimewaan iaitu dia kreatif dalam menerangkan hukum tajwid. Contohnya, dia akan kata begini...

1. Huruf "ر" apabila barisnya di bawah, bunyinya nipis, mulut awak jangan muncung. Masa sebut "نصير" kena buka mulut dan sengih sampai habis.

2. Huruf "ذ dan ظ" dibaca dengan tiada desir. Tiada desir maknanya tiada angin. Jangan tekan kuat, baca ringan saja. Jika awak baca berdesir (ada angin) itu sudah jadi huruf "ز". Huruf "ز" kena sebut dengan desir... Zzzai...

3. Perkataan "لن تغني", pada huruf "غ" itu jangan baca tersentak (tugh') walau pun ada tanda sukun. Awak seret huruf "غ" itu dalam mulut.

Perkataan-perkataan yang diguna oleh guru saya ini seperti "sengih sampai habis" dan "seret dalam mulut" cepat melekat di otak saya. Walau pun hanya sehari dalam seminggu mengaji di depan dia, saya mendapat manfaat. Biasanya saya membaca sekitar lima muka surat sahaja dan mencatit teguran-tegurannya dalam buku nota.

Hari Selasa saya menghadiri kelas Ustazah Normadiah. Kelas itu adalah kelas Asas Al Qur'an, bermula daripada mengenal sifat-sifat huruf hija'iyah. Dalam kelas saya ini ada dua kategori pelajar. Yang pertama ialah kategori yang sudah lancar membaca Al Qur'an. Yang kedua ialah kategori yang kurang lancar.

Ada pro dan kontra apabila kita mengaji di dalam kelas yang bercampur seperti ini. Kontranya ialah ia agak meleret-leret apabila giliran pelajar kategori kurang lancar membaca. Pro-nya pula ialah kita dapat belajar cara hendak mengajar orang yang belum pandai membaca Al Qur'an.

Guru saya menegur kesalahan dalam bacaan secara berperingkat. Contohnya dia fokus kepada bab mad asli dan wajibbal ghunnah sahaja di peringkat awal. Bab-bab yang lain dia tidak sentuh sebab tidak mahu pelajar kategori kurang lancar itu keliru jika ditegur bertubi-tubi.

Kedua-dua guru saya ada berpesan, apabila kita belajar mengaji Al Qur'an, kita harus pasang niat untuk mengajar orang lain apabila kita sudah mahir. Ada satu hadis sahih riwayat Al Bukhari yang berbunyi,

"خير كم من تعلم القران و علمه"

bermaksud sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al Qur'an dan mengajarkannya.

Pesan mereka lagi, kita jangan cepat patah semangat dengan mengatakan lidah kita sudah keras untuk dilentur. Antara motivasi yang boleh kita berikan kepada diri sendiri ialah maksud sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

"Orang yang mahir Al Qur'an akan berada di kalangan malaikat-malaikat yang mereka itu merupakan juru tulis mulia dan lurus. Sedang seseorang yang tidak lancar membaca Al Qur'an tetapi terus berusaha membacanya dengan susah-payah, dia akan mendapat pahala dua kali ganda."

Hari Rabu saya menghadiri kelas Ustazah Rokiah. Dalam kelas ini saya belajar Bahasa Al Qur'an secara harfiah iaitu menterjemah ayat-ayatnya perkataan demi perkataan. Kursus ini menggunakan kitab susunan Ustaz Rani Osman iaitu ada 30 buah, setiap satu kitab untuk satu juzuk.

Di peringkat awal, agak sukar memahami struktur Bahasa Al Qur'an dengan nahu sarafnya. Selepas beberapa bulan ia boleh difahami dan ketika ini kami sudah mula menterjemah juzuk ketiga. Kami bermula dengan menterjemah satu muka surat sahaja di setiap sesi kelas pada peringkat awal dulu tapi kini kami menterjemah empat muka surat sekali gus.

Mempelajari Al Qur'an bukanlah setakat hendak tahu membacanya tetapi juga harus mentadabbur dan menghayati isi kandungannya. Sesungguhnya Al Qur'an itu amat bernilai dan wajar kita mensyukurinya, menyayanginya, meyakininya, mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, meninggikannya dan menyampaikannya.

Beberapa hari lalu sahabat saya, Sapura, meminta bantuan saya untuk mengajar dia mengaji. Saya memenuhi permintaannya dengan senang hati. Kelasnya bermula hari ini. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat berkongsi ilmu dengan sahabat saya dan saya juga sedia membantu orang lain yang mahu belajar mengaji Al Qur'an.

No comments: