Tuesday, March 13, 2012

Makcik Bedah

Salah seorang rakan di kelas mengajiku ialah seorang tua bernama Makcik Bedah. Menurut dia, umurnya hampir 80 tahun. "Masa musim Jepun dulu, makcik bersekolah darjah 2," katanya. Aku pun mencongak dalam kepala. Ibuku lahir pada tahun 1942, masa itu musim Jepun. Sekarang usia ibuku 70 tahun. Jadi munasabah juga jika Makcik Bedah mengaku umurnya hampir 80 tahun. "Surat beranak makcik ada di rumah makcik di kampong. Kertasnya sudah kuning macam kertas Al Qur'an ini," kata Makcik Bedah.

Dia datang ke kelas mengaji di rumah Kak Sarah dengan menaiki basikal. Kagum juga aku melihat orang seusia dia masih berdaya mengayuh basikal. Aku sendiri (52 tahun) belum tentu boleh melakukannya. Kak Sarah memberi penjelasan begini, "Kalau sudah biasa, memanglah senang. Macam kita bawa kereta, sudah tua pun kita boleh memandu." Aku perhatikan Makcik Bedah menggantung begnya yang berisi Al Qur'an di lehernya. Nampak lucu pula sebab beg itu agak besar. "Makcik sudah cuba sandang beg ini, tapi dia melurut ke bawah. Susah pula nak pegang, jadi Makcik gantung di leher," kata Makcik Bedah sambil ketawa.

Aku pernah melihat Makcik Bedah di masjid sejak beberapa tahun lalu sebelum mengenalinya secara dekat di kelas mengaji. Kami selalu bertemu di masjid pada bulan Ramadan dan adakalanya aku duduk sebelah-menyebelahnya di saf yang sama iaitu ketika solat tarawih. Tidak ramai orang setua dia yang rajin datang mengerjakan solat tarawih di Masjid Al Alami. Dialah antara seorang dua wanita tua yang beristiqamah mengerjakan solat tarawih dari awal hingga akhir Ramadan setiap tahun.

Masjid Al Alami terletak di kawasan MITC dan taman perumahan yang terdekat dengannya ialah Taman Tasik Utama. Bagaimana pun agak mustahil untuk datang ke masjid itu dengan berjalan kaki. Taman perumahan yang terdekat pun jaraknya lebih satu kilometer daripada masjid itu. Aku pernah juga terfikir di mana makcik tua itu tinggal. Akhirnya soalan itu terjawab. Makcik Bedah tinggal bersama anak dan menantunya di sebuah banglo dua tingkat di Taman Tasik Utama.

Menurut Makcik Bedah, dia berketurunan Cina dan menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga orang Melayu di Bukit Rambai. "Makcik bersyukur emak makcik berikan makcik kepada keluarga angkat orang Melayu. Alhamdulillah, makcik dapat jadi orang Islam." Yang menarik hatiku tentang Makcik Bedah ini ialah dia boleh mengenali nombor dalam tulisan Arab. Dia juga boleh membaca Al Qur'an. Aku terpaut hati dengan sikap positifnya, yang meski pun sudah tua tetapi begitu merendah diri dan bersopan santun. Dia duduk di kelas Kak Sarah dengan tenang mendengar seorang demi seorang daripada kami membaca Al Qur'an sehingga selesai.

"Makcik duduk di rumah anak pun tak ada buat apa kerja. Kekadang tengok tv, solat, baring-baring, tidor... Anak makcik tak kasi makcik duduk seorang di kampong selepas suami makcik meninggal. Jadi duduklah di sini. Di rumah anak makcik, ada bibik yang memasak dan menjaga cucu-cucu makcik," katanya tersenyum. Aku mengajaknya menaiki kereta untuk aku hantarkan pulang ke rumahnya. "Basikal cucu makcik pancit. Tak sempat nak pam, jadi makcik datang tadi jalan kaki saja," katanya. Dia mempelawa aku singgah untuk minum kopi tetapi aku menolaknya dengan baik.

Hatiku tersentuh dengan teladan yang aku lihat di depan mata. Ya, teladan tentang menjalani kehidupan sebagai orang tua. Andainya umur kita panjang sehingga menjangkau lebih 70 tahun, apakah yang akan kita rasa? Aku selalu terfikir tentang masa tua yang sebegitu, jika ditakdirkan harus melaluinya. Aku mendengar kata-kata Makcik Bedah dengan penuh minat apabila dia menjawab pertanyaanku tentang dirinya. Dia kelihatan tenang, masih sihat dan berperawakan sederhana. Sikap dia begitu positif dan tampak mudah. Dia tidak bercakap seperti orang serba tahu tetapi tetap peramah dan merendah diri. Aku suka menjadi orang tua seperti itu.

1 comment:

Unknown said...

assalammualaikum puan nor, sy seorg perempuan dlm lingkungan umur 20-an ingin belajar mengaji balik. sy nak tanya ada tak kelas mengaji di buat di masjid al-alami mitc? sy nak sertainya. sy boleh mengaji al-quran, cuma sy xbelajar ilmu tajwid. sy ingin belajar semula, takut sy mengaji dgn sebutan x betul.