Saturday, March 3, 2012

Monolog Pagi

Aku pernah berada di tempat dia berada sekarang, menerajui sebuah syarikat yang sedang berkembang menggebu-gebu. Kesempatan mengunjungi dia di pejabatnya baru-baru ini menimbulkan nostalgia tentang masa laluku. Perasaanku seakan-akan terpesona dengan suasana pejabatnya yang 'hidup' dan rancak dengan aktiviti. Sambil dia menerangkan peningkatan jualan syarikatnya yang memberangsangkan, di wajahnya terpancar rasa puas dengan pencapaian itu. Dia mempunyai pelbagai rancangan dan sasaran baru untuk dicapai. Dia nampaknya konsisten untuk memburu kejayaan yang lebih besar. Umur dia baru mencecah 40 tahun dan pencapaiannya setakat ini sangat membanggakan.

Aku terasa kerdil. Meski pun pernah berada di situasi yang sama seperti dia pada suatu masa dulu, aku sekarang tidak lagi berfikir seperti dia. Haluan hidupku sudah bertukar arah. Aku kini bukan lagi seorang Pengarah Urusan, bukan lagi seorang bos kepada sesiapa. Aku hanya orang biasa-biasa, bahkan boleh saja dipanggil seorang surirumah. Aktiviti harianku kini ialah pergi ke kelas untuk mempelajari Al Qur'an, selain melakukan kerja-kerja sampingan seperti memberi khidmat "business-coaching" dan menguruskan akaun bisnes kami di SOHOku (small office home office). Termasuk juga dalam jadual mingguanku, membawa ibuku ke Jusco, Mydin, kedai cermin mata, farmasi atau klinik untuk membeli keperluan dan ubat-ubatannya.

Stail hidupku kini lebih santai dan tidak lagi terikat dengan 'deadlines' itu dan ini. Kini aku boleh mengatur masa untuk melakukan apa-apa saja yang menyenangkan hatiku. Sedangkan dulu hidupku selalu terkejar-kejar dengan urusan kerja yang tak berkesudahan. Ya, aku menghambat masa setiap hari selama berpuluh tahun, sibuk dengan urusan mencari wang sejak awal pagi hingga lewat petang atau larut malam. Kehidupan lampauku penuh dengan stres. Fikiranku dulu tak pernah lekang memikirkan isu "cashflow" syarikat yang kekadang positif dan kekadang negatif. Dalam agenda hidupku dulu tidak ada perkara-perkara santai seperti menyiram pokok bunga atau mengemas laci almari. Bahkan hendak memasak sarapan untuk anakku pun kekadang tidak sempat.

Persepsi dipandang sebagai "orang penting" sesekali membuat aku terpersona dengan glamer kehidupan lampau. Tetapi mahukah aku melalui fasa kehidupan sibuk seperti itu sekali lagi? Mahukah aku mengulanginya? Tanpa perlu berfikir panjang, jawapanku adalah tidak, tidak sama sekali. Kehidupanku kini adalah kesempatan buat mempersiapkan diri untuk kembali ke "kampung halaman" yang sudah semakin tiba masanya. Ya, masa untuk berangkat ke sana sudah semakin dekat. Kesempatan yang ada ini bukan lagi untuk dihabiskan memburu apa yang menjadi hambatanku sewaktu muda dahulu. Di usiaku ini semua itu sudah menjadi tidak penting, bahkan hanyalah kerja yang sia-sia jika aku terus melakukannya.

No comments: