Friday, September 28, 2012

Solat Subuh Di Pagi Jumaat

Pagi ini kami solat subuh di masjid MITC. Ada peristiwa lucu berlaku. Kisahnya tentang gelagat jemaah. Hampir setiap minggu pada pagi Jumaat (kecuali pada bulan Ramadhan dan bulan Syawal), masjid MITC akan dikunjungi oleh sekumpulan pelawat. Pada kebiasaannya mereka datang dari Terengganu. Hari ini para pelawat itu terdiri daripada murid-murid sekolah rendah. Mereka semua memakai kemeja T warna hijau. Semasa kami sampai di masjid pagi tadi, kelihatan dua buah bas di kawasan parkir kereta. Sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan kelihatan keluar-masuk tandas, sekumpulan lagi di tempat wudhu dan masing-masing kemudian menuju ke ruang solat.

Di ruang solat Muslimah, ada beberapa orang murid sedang memakai telekung. Saya mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid dan sejurus kemudian azan subuh pun berkumandang. Selesai azan, saya pun membaca doa dan bangun untuk mendirikan solat sunat subuh. Ketika itulah saya melihat murid-murid yang sudah bertelekung itu juga bangun untuk solat. Hati saya berkata, "Alhamdulillah, pandai budak-budak ini mendirikan solat sunat subuh." Adakalanya saya temui jemaah wanita yang buat tidak tahu saja selepas muazin selesai mengalunkan azan subuh. Mereka tidak bangun mendirikan solat sunat subuh tapi duduk-duduk sahaja (sesetengahnya turut bersembang) sehingga bilal membaca iqamat.

Yang lucunya hari ini, budak-budak yang saya sangka mendirikan solat sunat subuh itu tadi terus sahaja menanggal telekung mereka sebaik mereka habis solat. Hati saya berkata lagi, "Aiii, sudah siap solat subuh rupanya!!!" Sudah sahlah mereka sebenarnya bukan solat sunat tetapi solat fardhu subuh sendiri-sendiri dan tidak menunggu imam untuk berjemaah. Ada sekumpulan murid lagi yang duduk berdekatan saya ketika itu. Apabila bilal membaca iqamat, mereka pun berdiri dalam satu saf dengan saya. Di sebelah kiri saya ialah jemaah masjid yang biasa iaitu Kak Aminah dan Kak Rohana. Di sebelah kanan saya pula ada dua orang wanita yang tidak saya kenali. Mungkin mereka itu adalah guru-guru yang menjadi pengiring murid-murid.

Kebetulan pada pagi ini imam membaca surah As-Sajdah pada rakaat yang pertama. Maka terjadilah peristiwa 'keliru' yang sudah boleh dijangka akan berlaku, iaitu apabila imam sujud tilawah. Ketika itu, ada separuh jemaah dalam saf yang rukuk sedangkan makmum lain sedang sujud. Apabila imam berdiri semula, jemaah yang sama duduk antara dua sujud, kemudian mereka cepat-cepat ikut berdiri semula. Kemudian apabila imam bangun untuk rakaat kedua, jemaah yang terkeliru itu duduk tahiyyat akhir. Ketika selesai solat subuh, kesemua murid-murid yang solat dalam satu saf dengan kami sudah lesap. Mereka hilang entah ke mana.

Kemungkinan besar sebahagian murid-murid itu tidak pernah melalui pengalaman sujud tilawah di dalam solat. Saya harap guru-guru pengiring mereka akan memberi penerangan kepada kanak-kanak itu tentang sujud tilawah supaya mereka faham apa yang berlaku. Sujud tilawah adalah sujud yang dilakukan ketika orang yang sedang membaca atau mendengar  ayat-ayat Al Qur'an bertemu dengan ayat-ayat yang memerintahkan sujud. Ada banyak dalil tentang sujud tilawah itu, antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim iaitu :-

Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW bersabda : Jika anak Adam membaca ayat sajadah, lalu dia sujud, maka syaitan melarikan diri sambil meratap : "Semoga dia celaka." Dalam riwayat yang lain : "Aduh! Celaka aku kerana anak Adam diperintahkan sujud, lalu dia sujud dan baginya syurga. Sedangkan aku diperintahkan sujud, lalu aku engkar, maka bagiku neraka."

Di dalam Al Qur'an ada 14 ayat sajadah iaitu dalam surah-surah seperti berikut :-

1. Al-A'raf, ayat 206
2. Ar-Ra'd, ayat 15
3. An-Nahl, ayat 48-50
4. Al-Isra', ayat 107-109
5. Maryam, ayat 58
6. Al-Hajj, ayat 18
7. Al-Furqan, ayat 60
8. An-Naml, ayat 23-26
9. As-Sajdah, ayat 15
10.Saad, ayat 24-25
11. Fussilat, ayat 37
12. An-Najm, ayat 57-62
13. Al-Insyiqaq, ayat 16-21
14. Al-'Alaq, ayat 14-19

Apabila imam melakukan sujud tilawah, maka makmum wajib ikut melakukannya. Hakikatnya ada ramai orang dewasa yang tidak pernah melalui pengalaman sujud tilawah kerana mereka jarang solat subuh di masjid pada hari Jumaat. Inikan pula budak-budak yang masih mentah. Suatu ketika dulu saya juga tidak tahu tentang sujud tilawah di dalam solat. Pengalaman pertama saya melakukannya ialah ketika mendirikan solat subuh di Masjidil Haram. Saya juga pernah keliru dan kemudian mengulang semula solat subuh pada hari itu.

Saya doakan semoga anak-anak yang saya temui di masjid pagi tadi mendapat pengalaman berguna yang akan diingati sepanjang hayat mereka. Itu mungkin menjadi salah satu kenangan manis mereka ketika melawat Melaka Bandaraya Bersejarah yang indah dan permai.

2 comments:

mohd amzirin selamat said...

apakah bacaan ketika dlam sujud tilawah itu?

mohd amzirin selamat said...
This comment has been removed by a blog administrator.