Monday, August 22, 2016

Saturday, June 8, 2013

Duit Kutu

Generasi baru mungkin tidak pernah dengar tentang duit kutu atau 'kutu-kutu'. Ia satu cara menyimpan duit yang diamalkan sebahagian orang Melayu. Modus operandinya mudah sahaja. Seorang ketua mencari beberapa orang ahli kumpulan. Biasanya mereka daripada kalangan kenalan rapat atau saudara-mara.

Sebagai contoh, katakan ada 10 orang ahli. Setiap orang menyimpan RM100 sebulan. Jumlah untuk 10 orang ialah RM1,000. Setiap bulan ketua akan mengutip duit daripada ahli-ahlinya. Kemudian dia akan membuat undian. Nama siapa yang keluar, dialah yang mendapat RM1,000 bagi bulan itu. Selepas 10 bulan, habislah pusingan 'kutu-kutu' itu.

Biasanya pusingan baru dimulakan sekali lagi dan terus sambung-bersambung. Zaman sekarang ini masih ada orang yang menyimpan duit cara 'kutu-kutu'. Bagaimana pun ia tidak popular kerana agak berisiko. Andainya ketua meninggal dunia atau cabut lari, tiada jaminan apa-apa pun bagi ahli-ahlinya mendapat balik duit mereka. Transaksi 'kutu-kutu' tiada bersandarkan dokumen hitam-putih. Ia berdasarkan kepercayaan ahli kepada ketua.

Saya terjebak dalam 'kutu-kutu' ini apabila diajak oleh seorang jemaah di masjid. Kami selalu bertemu waktu solat subuh. Dia bekas guru dan berusia 60an. Sahabat saya ini mengidap penyakit kencing manis dan selalu uzur. Namun dia tetap mahu meneruskan 'kutu-kutu' yang diketuainya. Lepas habis satu pusingan, dia sambung lagi yang baru. Sebenarnya saya agak keberatan hendak turut serta sebab leceh. Dia semakin kerap sakit dan jarang pergi ke masjid. Saya yang kena menghantar duit ke rumahnya setiap bulan.

Entah kenapa saya turutkan juga. Saya tidak sampai hati hendak menolak permintaannya. Saya rasa kasihan kepada sahabat saya yang uzur itu. Seakan-akan pertemuan kami setiap bulan menjadi agenda penting baginya. Oleh kerana uzur, dia tidak dapat bergerak bebas. Sebahagian besar masanya dihabiskan di rumah. Mungkin dia kesunyian dan perlukan kawan untuk bercakap-cakap. Apabila saya datang menghantar duit kutu, kami akan berbual bertanya khabar. Bukan lama pun, sekadar setengah jam.

Biasanya ketika saya datang, sahabat saya itu berada di dalam bilik, atas tilamnya. Pembantu rumah akan sajikan teh dan kuih-muih seadanya. Nampaknya dia ceria setiap kali saya datang. Dia akan peluk saya dan mencium dahi. Aduhai, semua itu mencairkan hati saya. Seperkara lagi, dia suka memberi nasihat tentang kehidupan dengan anak-menantu di usia tua. Banyak kata-katanya yang boleh diterima akal. Saya lihat hubungan dia dengan anak-menantu memang sangat harmoni.

Saya baru mendapat duit kutu kerana giliran saya yang ke 10. Sahabat saya akan memulakan pusingan baru bulan depan. Dia ajak saya sertai lagi. Lemah badan saya bila memikirkan hendak berulang-alik lagi 10 kali ke rumahnya untuk 10 bulan akan datang. Tapi saya kata 'ok' untuk menjaga hatinya. Moga-moga Allah selamatkan semua urusan 'kutu-kutu' kami, InsyaAllah.

Friday, June 7, 2013

Bingit!

Adakah faktor usia yang membuat aku rasa bingit? Aku bingit dengan keadaan masa kini. Aku rasa keadaan sekeliling hiruk-pikuk. Terlalu banyak info, terlalu banyak promosi itu dan ini, iklan beraneka di radio, iklan yang banyak dan pantas bertukar di TV, cerita suratkhabar, cerita di internet... Ohhh, bingit sungguh!

Kehidupan masa kini amat rancak. Ia bukan soal hidup di bandar atau di kampung. Ia sama saja dengan kemajuan teknologi. Mungkin berpunca bilangan manusia yang bertambah ramai. Sebenarnya bukan setakat ramai tapi sesak dan padat. Di mana-mana pun sama saja. Pergilah ke pasaraya atau kedai-kedai, kebanyakannya ramai orang. Jalanraya tidak usahlah hendak cerita, kenderaan penuh di mana-mana pun. Waima di Melaka, bandaraya bersejarahku.

Aku bingit! Bagaikan semua benda/orang/apa-apa saja, semua mahukan perhatian. Masing-masing sibuk 'meniup terompet' sendiri. Ada yang seakan-akan 'menjerit' dan 'memekik' hendakkan perhatian. Bacalah di FB contohnya. Berapa ramai orang yang menayangkan diri. Tampak seakan sekadar berkongsi info tetapi sebenarnya menayangkan kelebihan dan nikmat yang sedang dikecapi... Bagaikan semuanya sibuk dengan itu ini sepanjang masa... sentiasa bertenaga 24 jam.. bagai tidak tahu penat... Seolah-olah berkata, "Look here everybody! See how terrific things are in this life!"

Memang aku bingit. Keadaan terasa menyesakkan nafas. Aku kurang selesa. Kekadang rasa hendak lari, tapi ke mana? Entahlah, inilah zaman yang dikatakan canggih. Zaman mencabar bagi usia emasku. Namun aku ingin menikmati hidupku dengan tenang. Tanpa rasa perlu menghambat sesuatu, dihambat sesuatu atau ketinggalan sesuatu. Ya Allah, berilah aku ketenangan jiwa. Berilah aku kekuatan untuk menikmati hidup yang engkau anugerahkan buatku. Amin.

Friday, September 28, 2012

Solat Subuh Di Pagi Jumaat

Pagi ini kami solat subuh di masjid MITC. Ada peristiwa lucu berlaku. Kisahnya tentang gelagat jemaah. Hampir setiap minggu pada pagi Jumaat (kecuali pada bulan Ramadhan dan bulan Syawal), masjid MITC akan dikunjungi oleh sekumpulan pelawat. Pada kebiasaannya mereka datang dari Terengganu. Hari ini para pelawat itu terdiri daripada murid-murid sekolah rendah. Mereka semua memakai kemeja T warna hijau. Semasa kami sampai di masjid pagi tadi, kelihatan dua buah bas di kawasan parkir kereta. Sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan kelihatan keluar-masuk tandas, sekumpulan lagi di tempat wudhu dan masing-masing kemudian menuju ke ruang solat.

Di ruang solat Muslimah, ada beberapa orang murid sedang memakai telekung. Saya mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid dan sejurus kemudian azan subuh pun berkumandang. Selesai azan, saya pun membaca doa dan bangun untuk mendirikan solat sunat subuh. Ketika itulah saya melihat murid-murid yang sudah bertelekung itu juga bangun untuk solat. Hati saya berkata, "Alhamdulillah, pandai budak-budak ini mendirikan solat sunat subuh." Adakalanya saya temui jemaah wanita yang buat tidak tahu saja selepas muazin selesai mengalunkan azan subuh. Mereka tidak bangun mendirikan solat sunat subuh tapi duduk-duduk sahaja (sesetengahnya turut bersembang) sehingga bilal membaca iqamat.

Yang lucunya hari ini, budak-budak yang saya sangka mendirikan solat sunat subuh itu tadi terus sahaja menanggal telekung mereka sebaik mereka habis solat. Hati saya berkata lagi, "Aiii, sudah siap solat subuh rupanya!!!" Sudah sahlah mereka sebenarnya bukan solat sunat tetapi solat fardhu subuh sendiri-sendiri dan tidak menunggu imam untuk berjemaah. Ada sekumpulan murid lagi yang duduk berdekatan saya ketika itu. Apabila bilal membaca iqamat, mereka pun berdiri dalam satu saf dengan saya. Di sebelah kiri saya ialah jemaah masjid yang biasa iaitu Kak Aminah dan Kak Rohana. Di sebelah kanan saya pula ada dua orang wanita yang tidak saya kenali. Mungkin mereka itu adalah guru-guru yang menjadi pengiring murid-murid.

Kebetulan pada pagi ini imam membaca surah As-Sajdah pada rakaat yang pertama. Maka terjadilah peristiwa 'keliru' yang sudah boleh dijangka akan berlaku, iaitu apabila imam sujud tilawah. Ketika itu, ada separuh jemaah dalam saf yang rukuk sedangkan makmum lain sedang sujud. Apabila imam berdiri semula, jemaah yang sama duduk antara dua sujud, kemudian mereka cepat-cepat ikut berdiri semula. Kemudian apabila imam bangun untuk rakaat kedua, jemaah yang terkeliru itu duduk tahiyyat akhir. Ketika selesai solat subuh, kesemua murid-murid yang solat dalam satu saf dengan kami sudah lesap. Mereka hilang entah ke mana.

Kemungkinan besar sebahagian murid-murid itu tidak pernah melalui pengalaman sujud tilawah di dalam solat. Saya harap guru-guru pengiring mereka akan memberi penerangan kepada kanak-kanak itu tentang sujud tilawah supaya mereka faham apa yang berlaku. Sujud tilawah adalah sujud yang dilakukan ketika orang yang sedang membaca atau mendengar  ayat-ayat Al Qur'an bertemu dengan ayat-ayat yang memerintahkan sujud. Ada banyak dalil tentang sujud tilawah itu, antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim iaitu :-

Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW bersabda : Jika anak Adam membaca ayat sajadah, lalu dia sujud, maka syaitan melarikan diri sambil meratap : "Semoga dia celaka." Dalam riwayat yang lain : "Aduh! Celaka aku kerana anak Adam diperintahkan sujud, lalu dia sujud dan baginya syurga. Sedangkan aku diperintahkan sujud, lalu aku engkar, maka bagiku neraka."

Di dalam Al Qur'an ada 14 ayat sajadah iaitu dalam surah-surah seperti berikut :-

1. Al-A'raf, ayat 206
2. Ar-Ra'd, ayat 15
3. An-Nahl, ayat 48-50
4. Al-Isra', ayat 107-109
5. Maryam, ayat 58
6. Al-Hajj, ayat 18
7. Al-Furqan, ayat 60
8. An-Naml, ayat 23-26
9. As-Sajdah, ayat 15
10.Saad, ayat 24-25
11. Fussilat, ayat 37
12. An-Najm, ayat 57-62
13. Al-Insyiqaq, ayat 16-21
14. Al-'Alaq, ayat 14-19

Apabila imam melakukan sujud tilawah, maka makmum wajib ikut melakukannya. Hakikatnya ada ramai orang dewasa yang tidak pernah melalui pengalaman sujud tilawah kerana mereka jarang solat subuh di masjid pada hari Jumaat. Inikan pula budak-budak yang masih mentah. Suatu ketika dulu saya juga tidak tahu tentang sujud tilawah di dalam solat. Pengalaman pertama saya melakukannya ialah ketika mendirikan solat subuh di Masjidil Haram. Saya juga pernah keliru dan kemudian mengulang semula solat subuh pada hari itu.

Saya doakan semoga anak-anak yang saya temui di masjid pagi tadi mendapat pengalaman berguna yang akan diingati sepanjang hayat mereka. Itu mungkin menjadi salah satu kenangan manis mereka ketika melawat Melaka Bandaraya Bersejarah yang indah dan permai.

Thursday, September 27, 2012

Ajal

Kita biasa mendengar doa begini diucapkan kepada orang yang menyambut hari lahirnya... "Selamat Hari Lahir. Semoga Allah panjangkan umur awak." Ucapan seperti ini agak biasa, tetapi hakikatnya bolehkah umur kita dipanjangkan lagi? Setahu saya yang sudah hidup lebih 5 dekad ini, apabila sampai ajal, kita pasti akan mati. Tidak akan dicepatkan ajal seseorang itu walau pun sesaat, juga tidak akan dilewatkan walau pun sesaat. Jika demikian (ajal kita sudah ditetapkan) bolehkah kita memohon supaya dipanjangkan umur? Menurut Ustaz Fahim, kita boleh memohon kepada Allah untuk dipanjangkan umur. Caranya ialah dengan berdoa dan melakukan 3 perkara berikut :-

1. beribadah
2. bertaqwa; dan
3. taat kepada Allah

Doa adalah senjata orang beriman dan kita boleh memohon apa sahaja doa yang baik-baik kepada Allah. Insyaallah akan dimakbulkanNya, samaada cepat atau sedikit lambat. Memohon dipanjangkan umur sebenarnya bukan bermaksud tempoh hayat kita yang akan dipanjangkan. Sebaliknya ia bermaksud pengisian umur kita itu akan padat dengan ibadah dan amal soleh. Hakikatnya ialah kita memohon supaya Allah memberi kita kebolehan memanfaatkan masa. Insyaallah dengan mengabulkan doa yang dipohon itu, Allah memberi kita kesempatan melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat.

Dengan lain perkataan, Allah memanjangkan usia kita dengan dikurniakanNya keberkatan masa. Ada ramai alim ulama zaman silam yang meninggal dunia di usia muda tetapi amal soleh mereka sangat banyak, bagaikan mereka hidup sehingga ke usia tua. Contohnya mereka menulis kitab-kitab yang terkenal dan sangat berguna kepada masyarakat Islam sehingga ke hari ini. Ada juga orang yang sudah lanjut usia tetapi masih mampu mengaji Al Qur'an setiap hari dan mengkhatamkannya sebulan sekali.

Ustaz Fahim juga ditanya, apa bezanya di antara beribadah dan taat kepada kepada Allah. Bukankah orang yang beribadah itu taat kepada Allah? Rupa-rupanya orang yang beribadah tidak semestinya dia taat kepada Allah. Contohnya, seorang wanita hendak mengerjakan ibadah haji, maka dia pun menutup aurat ketika berihram. Ketika hendak mengerjakan ibadah solat juga dia menutup aurat. Bagaimana pun selepas mengerjakan haji dia pun membuka semula auratnya (tidak mematuhi etika berpakaian dalam Islam). Inilah yang dimaksudkan orang yang beribadah tetapi tidak taat kepada perintah Allah. Taat kepada Allah itu ialah kita mematuhi semua suruhannya dan larangannya. Apabila kita memilih-milih yang mana kita suka untuk melakukan atau meninggalkan perintah Allah, ia bermaksud kita tidak taat meskipun kita rajin beribadah.


Friday, September 14, 2012

Syahid Ponteng Kelas

Aqrab Al Istiqamah ditutup pada sepanjang bulan Ramadhan dan dibuka semula pada 16 Syawal lalu. Meski pun sudah dua minggu kelas bermula, masih ramai yang belum dapat hadir. Mungkin mereka itu sibuk dengan majlis rumah terbuka, urusan anak-anak menghadapi UPSR, majlis walimah, kursus haji dan sebagainya. Lumrahnya begitulah selepas bercuti lama, perasaan menjadi malas untuk menghadiri kelas. Ada-ada saja hal yang dijadikan alasan untuk ponteng kelas. Jika tidak dikuatkan hati dengan kesedaran pentingnya mencari ilmu, maka perasaan malas itu semakin menjadi-jadi.

Kak Dzuredah menceritakan hal murid-muridn dewasanya yang 'syahid' dan tidak hadir kelas mengaji pada minggu lalu. "Hanya seorang yang hadir. Yang lain ponteng. Saya pula yang menunggu mereka. Saya pun beri amaran hendak tutup kelas jika masing-masing terus memonteng. Kalau mereka hendak pilih dunia, dapat dunia sajalah, lupa langsung bab akhirat. Haa... hari ini semua sekali hadir." Kami ketawa berderai mendengar sambungan leterannya, "Sudahlah mengaji tidak pandai. Baca merangkak-rangkak. Sanggup lagi membuli guru. Guru datang, dia pula ponteng."  Suasana menjadi bising seketika. Nampaknya semua orang bagaikan bersetuju bahawa bukan budak-budak saja perlu ditegur. Orang dewasa pun perlu dileter-leterkan.

"We are a spent force," kata Kak Asiah, pengetua Aqrab Al Istiqamah. "Kita semua sudah tua. Baki umur sudah tinggal sikit. Hendak tunggu apa lagi? Bila lagi hendak cari ilmu?" Dia menyambung, "Saya pelik tengok sesetengah orang, sanggup ponteng kelas sebab hendak membaca Yasin di sekolah semasa anak masing-masing ambil UPSR. Lebih baik datang ke majlis ilmu, itu lebih afdal. Solat sunat berbanding majlis ilmu, hadir majlis ilmu lebih afdal. Dalam majlis ilmu ada ramai malaikat, semuanya akan mengaminkan doa-doa kita." Wallahua'lam.


Thursday, September 13, 2012

Kesalan Seorang Balu

Tiga minggu lalu seorang kenalan saya kematian suaminya. Berita duka itu tiba ketika kita semua baru dua hari menyambut Aidil Fitri. Khabarnya allahyarham kerap demam di sepanjang bulan ramadhan tetapi tidak diduga pula sakitnya itu akan membawa maut. Saya pernah berjumpa arwah suami kenalan saya itu beberapa kali ketika berkunjung ke rumah mereka. Orangnya tidak peramah namun tidak juga sombong. Beliau suka berkebun dan bertukang. Orang yang sudah pencen sepertinya memang suka mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti seperti itu. Menurut isterinya, beliau juga rajin ke pasar, mengemas rumah dan memasak.

Al kisah kenalan saya itu pula, oleh kerana suaminya rajin membuat kerja rumah, beliau mengambil peluang mengisi masa dengan  pergi belajar agama. Merata-rata dia pergi mencari ilmu di surau dan masjid dengan izin suaminya. Pasangan ini mempunyai keluarga yang harmoni, anak-menantu yang baik-baik serta beberapa orang cucu yang comel. Pendek kata, meraka hidup bahagia dalam rumahtangga yang boleh dijadikan contoh teladan oleh orang lain.

Baru-baru ini kenalan saya itu meluahkan perasaan dukanya. "Saya ralat sangat," kata kenalan saya itu. "Saya tidak suka memanjakan suami. Bercakap dengannya pun tidak pernah dengan bahasa yang lembut. Saya tak pandai bercakap lemah-lembut dengan dia. Dia pun tak kisah dengan cara saya yang agak kasar." Raut wajah kenalan saya itu tampak sedih dan ada airmata di sudut ekor matanya. "Dia suami yang baik. Sangat penyayang dan tidak banyak kerenah. Tak pernah mengabaikan saya dan anak-anak. Saya ralat tak manjakan dia dengan bercakap lemah lembut." Tersentuh hati saya mendengar luahan yang diucap dengan penuh sebak itu.

Fikiran saya melayang jauh, membayangkan diri sendiri berada dalam situasi kenalan saya yang sedang kesedihan. Ya, saya juga seperti dia. Saya juga kerap terlepas pandang kebaikan suami ketika dia masih ada di depan mata. Sejak muda lagi, saya agak kedekut untuk membeli hadiah untuk suami, sedangkan dia sangat pemurah terhadap saya. Selama lebih 28 tahun hidup bersama, saya akui amat jarang membelikan hadiah untuknya. Memang saya ini bersikap tahi hidung masin dengan suami sendiri. Rasa kesal menyelubungi hati apabila melihat kesedihan kenalan saya itu.

Sikap manusia kekadang alpa untuk menghargai apa yang dia ada. Apabila nikmat itu ditarik balik, dia tersentak daripada kealpaan, lalu hati pun merasa ralat dan kesal. Teringat serangkap pantun dalam lirik sebuah lagu lama berbunyi begini...

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Ada sebuah ungkapan dalam bahasa Inggeris berbunyi begini... "Don't take foregranted on people. No matter how much they love you, they get tired." Ada pula pepatah Melayu berbunyi... "Sudah terhantuk baru tengadah. Kesal dulu pendapatan, kesal kemudian tidak berguna." Semuanya mengingatkan kita tentang sikap manusia yang kekadang alpa. Semoga kita mendapat iktibar dan melakukan sesuatu sebelum terlambat.

Saya sedang merancang sesuatu di dalam kepala sendiri... mungkin untuk pergi bercuti dengan suami... mungkin melancong ke Turki... Kali ini biarlah saya yang membelanja dia. Bulan Mei lalu dia sudah membawa saya ke tanah suci. Bulan Mac tahun lepas dia membelanja saya, juga ke tanah suci. Nampaknya saya tidak boleh terus bersikap kedekut terhadap dia, nanti saya yang menyesal tidak kesudahan.